Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News

Tabung Haji sedang dalam perbincangan dengan Jabatan Pendaftaran Negara bagi menggunakan pengesahan cap jari secara berkomputer dalam urusan harian pelanggan, kata setiausaha parlimen Jabatan Perdana Menteri di dewan rakyat hari ini.

Menurut Datuk Noh Omar tindakan itu bagi meningkatkan sistem kawalan dalaman dan penyeliaan pengurusan institusi itu berikutan kes kecurian wang pendepositnya baru-baru ini.

Beliau juga menjelaskan wang yang hilang daripada akaun institusi itu antara bulan April hingga Julai lalu ialah sejumlah RM8,995,005.

"Kehilangan wang itu hanya melibatkan tiga pendeposit sahaja," katanya.

Menurut beliau kecurian wang pendeposit itu telah dilakukan oleh tiga orang yang menggunakan kad pengenalan palsu.

"Mereka yang menyamar itu mengunakan butir-butir pendeposit dan menukar gambar serta cap jari kepada gambar si penipu (penyamar)," jelasnya.

Akhir Ogos lalu, akhbar-akhbar utama melaporkan RM7 juta dicuri daripada akaun persendirian di Tabung Haji. Wang itu berjaya dikeluarkan setelah lelaki terbabit membuat urusan di Tabung Haji sebanyak 18 kali dalam tempoh enam bulan.

Kakitangan disoal-siasat

Berikutan itu, ibu pejabat polis Bukit Aman telah menyoal siasat beberapa kakitangan lembaga itu kerana disyaki membantu sindiket yang terbabit dengan kecurian wang itu.

Noh kemudiannya dalam sidang akhbar di luar Dewan memberitahu pengeluaran wang pendeposit pada akaun pertama dilakukan antara 16 April hingga 22 Jun, akaun kedua antara 11 Mei hingga 22 Jun dan pengeluaran akaun ketiga antara 11 Julai hingga 22 Julai tahun ini.

Ditanya mengenai sama ada "orang dalam" Tabung Haji terbabit dalam kes kecurian itu, beliau berkata "perkara itu tidak boleh didedahkan".

Beliau menambah setakat ini pihak institusi itu telah memperkenalkan beberapa langkah keselamatan untuk menangani masalah penipuan pada masa depan.

Diantaranya cek berpalang tidak lagi boleh ditunaikan secara terus di Tabung Haji dan pendeposit hanya boleh mengeluarkan wang berjumlah tidak lebih RM10 ribu dalam tempoh sehari.

Anak syarikat kerugian

Sebelum itu, Noh memberitahu Dewan Rakyat bahawa dua anak syarikat institusi itu, TH Computer Sdn Bhd dan IMIM Holdings Sdn Bhd, sehingga kini mengalami kerugian.

"Bagi TH Computer, Tabung Haji sedang mengkaji beberapa alternatif penstrukturan semula syarikat bagi tujuan pemulihan," katanya.

Sementara itu bagi IMIM Holdings pula, Noh memberitahu Tabung Haji kini sedang memuktamadkan proses penjualannya kepada pihak ketiga.

Tambah beliau, Tabung Haji mempunyai 16 anak syarikat dengan nilai kos pelaburan sebanyak RM354.9 juta.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Zin Mohamed (BN-Shah Alam) mengenai tindakan kerajaan dalam menangani masalah kelemahan institusi itu dan bilangan anak syarikat dan pelaburannya yang mengalami kerugian.

Menjawab kepada soalan lain, Noh memberitahu "semua pelaburan yang dibuat oleh Tabung Haji adalah halal dan berdaya saing".

Pelbagai laburan

Noh turut menjelaskan sebanyak RM2 bilion atau 18 peratus milik institusi itu dilaburkan dalam sektor hartanah, RM4.4 bilion (40 peratus) dilaburkan dalam pelaburan saham, RM3.5 bilion (32 peratus) dalam pelaburan jangka pendek berkaitan instrumen kewangan Islam dan RM1 bilion (10 peratus) adalah untuk pembiayaan anak-anak syarikat dan bakinya didalam bank.

Menjawab soalan Che Ghani Che Ambak (PAS-Setiu), Noh berkata secara umum pengeluaran wang oleh pendeposit institusi itu kini tidak banyak dan jumlah penyimpan baru pula adalah seperti biasa.

Menurutnya sehingga September tahun ini, institusi itu mempunyai 4,271,527 orang pendeposit dengan jumlah deposit sebanyak RM10.540 bilion.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS