Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Isu Uighur: Agensi pelancongan enggan promosi destinasi ke China

Sebuah agensi pelancongan Malaysia bertindak untuk tidak menjual atau mempromosikan mana-mana pakej destinasi ke China susulan bantahan mereka kepada negara itu yang didakwa melakukan penindasan terhadap etnik Uighur.

Pengarah Raha Legacy Holidays, Muhammad Soffian Mohamad Yusof berkata, pihaknya membuat bantahan tersebut bermula semalam dan akan kekal melakukan sedemikian sehingga nampak perubahan daripada negara itu kepada etnik tersebut.

“Sebenarnya pihak kami ada terpanggil dan tidak setuju dengan apa yang berlaku iaitu penindasan China kepada kaum Uighur.

“Kami setakat ini tiada tarikh bila nak berhenti lagi untuk bantahan itu tetapi akan tetap meneruskan sehingga ada nampak perubahan. Kalau sampai tahun hadapan, tahun hadapanlah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sebelum ini, Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan aktivis hak asasi manusia mengatakan sekurang-kurangnya sejuta orang Uighur dan warga minoriti Muslim lainnya telah ditahan di kem di Xinjiang.

Isu minoriti di Xinjiang turut menarik perhatian bintang Arsenal, Mesut Ozil, yang berdarah Turki - menganggap etnik Uighur sebagai "pahlawan yang berjuang menentang kezaliman."

Pandangan itu dimuat naik oleh Ozil melalui Twitter dan Instagram pada 13 Disember lalu.

Sementara itu, Soffian juga menjelaskan bahawa syarikatnya sudah dua tahun berhenti mempromosikan dan menjual pakej percutian ke Myanmar sebagai bantahan terhadap isu Rohingya.

Walaupun dalam perniagaan perkhidmatan pelanggan pulangan keuntungan itu penting, Muhammad Soffian berkata tindakan itu cuma ikhtiar kecil yang dapat dibuatnya bagi membantu etnik yang ditindas itu.

“Kami istiqamah (berpendirian teguh) dalam melakukan bisnes ini dan kami anggap (bantuasebagai bantuan kecil yang dapat pihak kami beri bagi membantu dan memboikot atas penindasan yang mereka lakukan,” katanya mengusahakan agensi pelancongan tersebut sejak tahun 2010.

Dewan Perwakilan Amerika Syarikat pada 4 Disember lalu meluluskan rang undang-undang (RUU) untuk menangani "penahanan tanpa bicara, penyiksaan dan gangguan" terhadap umat Islam Uighur di China.

Bagaimanapun, RUU itu yang masih memerlukan kelulusan Dewan Senat AS dan Presiden Donald Trump itu menggesa sekatan bersasar terhadap anggota kerajaan China dan menamakan setiausaha Parti Komunis China di Xinjiang, Chen Quanguo.

Di sebalik bantahan antarabangsa, kerajaan China berulang kali menafikan dakwaan penindasan di kem tersebut.

Pada hujung November lalu, Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasatan (ICIJ) mendedahkan dokumen sulit kerajaan China yang memperincikan gerak kerja dalaman yang menindas dalam kem tahanan di Xinjiang dengan butiran mengenai kawalan ketat terhadap etnik Uighur dan warga Islam lain di rantau itu.

Ia merupakan kebocoran kedua fail rahsia yang jarang-jarang berlaku mengenai rantau barat China itu.

Pada 9 Disember lalu, BBC melaporkan seorang pegawai kerajaan China menyatakan semua tahanan di pusat tahanan di Xinjiang telah dibebaskan.

Pengerusi kerajaan wilayah autonomi Xinjiang, Shohrat Zakir dipetik BBC berkata tahanan di pusat yang disebut sebagai "kem pendidikan semula" itu telah dibebaskan selepas "tamat pengajian".

Bagaimanapun BBC berkata pihaknya tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan Zakir.

Zakir juga dilaporkan berkata pusat latihan di Xinjiang itu diperlukan bagi membanteras fahaman agama yang melampau dan ganas.

Lihat Komen
ADS