Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

WAWANCARA | Naib Presiden PKR Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua bimbang tentang kempen "nakal" dalam parti yang menggesa agar Anwar Ibrahim diangkat sebagai perdana menteri yang akan datang.

Pada pandangannya, hanya pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang dapat memutuskan pemimpin mereka, bukan ahli parti atau rakyat.

Tambahan pula, kata Tian Chua, bercakap tentang isu itu akan melagakan Anwar dengan perdana menteri sekarang Dr Mahathir Mohamad dan dilihat sebagai percubaan untuk menekankan gabungan itu.

Bercakap kepada Malaysiakini berikutan kongres PKR baru-baru ini, Tian Chua mengerutkan dahinya apabila diingatkan tentang perwakilan kogres yang mengangkat plakad tertera "Anwar PM kelapan".

"Itu adalah sesuatu yang kita tolak, ia adalah nakal ...

"Apabila orang fikir (siapa mereka mahu sebagai) PM kelapan, ini bermakna anda meragui proses membuat keputusan PH. (Walaupun) dengan apa yang telah diputuskan, kini anda memberi tekanan, anda perlu mobilisasi...

"Bila ia (peralihan jawatan perdana menteri) akan berlaku, bagaimana ia akan berlaku, itu keputusan yang akan dibuat kepimpinan PH. Anda tidak perlu melambaikan plakad untuk membuat keputusan itu," katanya semasa ditemu bual di pejabatnya di Perbadanan Produktiviti Malaysia di Petaling Jaya minggu ini.

PM seterusnya bukan diputuskan orang ramai

Tian Chua memberikan jawapan acuh tidak acuh apabila ditanya sama ada semua ahli PKR menyokong idea untuk mengangkat Anwar sebagai perdana menteri.

Katanya, dalam demokrasi berparlimen seperti Malaysia, pengundi boleh memilih parti atau gabungan tetapi bukan perdana menteri.

Terpulang kepada parti yang menang untuk memutuskan pemimpinnya, katanya.

"Bagaimana kita mahu menguruskan kepimpinan kita, itu bukan salah satu masalah negara, sebenarnya ...

"Kalau Anwar dipersetujui oleh PH, dia akan mengambil alih (jawatan perdana menteri) ketika PH sudah bersedia. Ia tidak ada kena mengena dengan orang ramai. Kemudian, jika PH memutuskan bahawa masa Anwar sudah habis (dan) akan ada orang lain, maka ia akan disandang orang lain," kata Tian Chua.

Sebelum PRU14, PH bersetuju mengangkat Dr Mahathir sebagai perdana menteri "sementara" sebelum menyerahkan jawatan kepada Anwar.

Bagaimanapun, tempoh untuk Dr Mahathir memegang jawatan perdana menteri tidak jelas, yang membuatkan isu peralihan kuasa itu terus menjadi perbualan sejak PH memenangi pilihan raya.

Dr Mahathir dilihat enggan menyebutkan tarikh untuk penyerahan kuasa, walaupun berulang kali memberi jaminan untuk memenuhi janjinya menyerahkan kuasa kepada bekas seteru politiknya itu.

Ia dirumitkan lagi dengan konflik dalaman PKR, yang menyaksikan pergeseran antara Anwar dan timbalannya, Azmin Ali yang kini dilihat menyokong agar Dr Mahathir memegang jawatan perdana menteri sehingga habis penggal.

Bagi Tian Chua, yang kini dilihat sebagai antara sekutu Azmin dalam PKR, penekanan terhadap personaliti politik hanya memarakkan "wacana dinasti" yang mengalihkan perhatian orang ramai daripada perbincangan dasar.

Katanya, ia juga menghalang PH daripada tampil sebagai penyelesaian "jangka panjang" kepada masalah negara.

"Ia bukan hanya soal peralihan kuasa antara Mahathir dan Anwar. Rakyat juga melihat (sama ada) PH mempunyai lapisan pemimpin yang akan ditawarkan, sehingga akan ada kestabilan jangka panjang," katanya.

[Baca wawancara penuh]

Lihat Komen
ADS