Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN l Niccolo Machiavelli (1469-1527) dikenali sebagai political philosopher kerana pemikiran dan penulisannya berlegar di sekitar kuasa politik. Walaupun ramai yang membenci pemikiran Machiavelli yang songsang etika, namun dia mempunyai pengikut yang tersendiri, sehingga ada yang menggelarnya sebagai father of modern political science.

Penulisan Machiavelli yang terkenal ialah The Prince yang diterbitkan pada tahun 1532. Dalam buku ini, beliau berbicara soal konsep kuasa antaranya berpegang kepada teori matlamat menghalalkan cara, walau apa cara sekalipun. Pegangan ini jelas bertentangan dengan konsep yang digariskan Islam “al-ghayah la tubariru al-wasilah”- matlamat tidak menghalalkan cara.

Islam menolak teori Machiavelli kerana ia tidak mempunyai sebarang limitasi dan panduan. Ia terbuka, untuk melakukan apa sahaja cara, selagi mana boleh membawa sesuatu objektif yang ingin diraih dan dikira perlu. Maka lakukankanlah cara itu, kononnya boleh berubah menjadi mulia dan diterima.

Matlamat menghalalkan cara menjadi antara punca berlakunya kecelaruan dan ketidakseimbangan politik di dalam negara. Ketika ini, kita menyaksikan satu persatu apa yang telah dibina oleh kerajaan terdahulu selama 61 tahun telah dimusnahkan dan dirobek tanpa noktah.

Semakin hari semakin memualkan, beromong kosong mendaulatkan demokrasi dan politik serba bersih. Namun rintihan rakyat, isu ekonomi, sosial, agama tidak mendapat perhatian bahkan isu perkauman diheret dengan percikan bunga api yang hampir membakar, fitnah disemarakkan dan kebenaran masih jauh untuk diketengahkan.

Niccolo Machiavelli

Kerana kecelaruan dan ketidakseimbangan politik episod perebutan kuasa, pangkat dan projek di dalam kerajaan menjadi keutamaan berbanding mencari solusi menyelesaikan permasalahan rakyat. Akhirnya rakyat menjadi mangsa antaranya:

Kebobrokan ekonomi negara; Telah mengakibatkan tekanan dan peningkatan bebanan kos sara hidup khususnya kelompok B40, malah golongan peniaga dan M40. Hutang negara bertambah, walaupun sudah puluhan aset negara milik orang Melayu dan Bumiputera telah dijual. Pengumuman dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) sekali lagi menyaksikan rakyat khususnya Melayu dan Bumiputera menjadi mangsa. 

Dividen dan bonus ASB 2019 pada kadar 5.50 sen per unit, paling rendah dalam sejarah sejak dilancarkan pada 2 Januari 1990. Apapun alasan yang diberikan, ketidakcekapan kerajaan menguruskan ekonomi telah merugikan rakyat. Sekaligus membantutkan matlamat asal penubuhan ASB yang bertujuan merapatkan jurang ekonomi antara Bumiputera dan bukan Bumiputera.

ASB dengan pulangan 5.5sen seunit - paling rendah dalam sejarah

Prinsip kesopanan dan kesusilaan diremehkan; Secara umumnya kesopanan dan kesusilaan tidak harus dipandang enteng. Menurut pakar undang-undang dan perlembagaan, prinsip terakhir dalam Rukun Negara ini merupakan terjemahan daripada prinsip moral dalam Perlembagaan Persekutuan.

Prinsip ini bertujuan untuk mengawal tingkah laku seseorang dan memupuk sahsiah mulia, serta aturan kehidupan yang santun demi kesejahteraan setiap warganegara Malaysia. Prinsip ini amat penting dalam konteks untuk mengekalkan keharmonian masyarakat dan hormat-menghormati antara kaum. Tetapi apa yang menyedihkan atas faktor keterbukaan, kebebasan dan kecelaruan politik dua prinsip ini diremehkan.

Bagaimana papan tanda atau billboard aplikasi telefon bimbit SugarBook boleh diiklankan secara terbuka di Bangsar dan Sri Hartamas? Apa logiknya iklan seperti ini diluluskan oleh pihak Dewan Bandar raya Kuala Lumpur (DBKL)? Apa penjelasan menteri yang bertanggungjawab?

Saya berpandangan isu ini bukan sahaja isu agama, tetapi isu moral, isu sosial, isu kesopanan dan kesusilaan rakyat khususnya orang Melayu dan Bumiputera. Apa bezanya SugarBook dengan pelacuran? Walau ada yang menafikan dengan menyatakan “SugarBook bukan pelacuran tetapi match making, untuk memperkasakan wanita dengan memberi mereka platform temu janji untuk memilih secara bebas apa yang mereka mahu dalam hubungan yang ideal”. Jelas ini adalah sebahagian daripada agenda untuk normalisasikan maksiat.

Terfikirkah kita apa perasaan 15.80 juta golongan wanita di negara ini? Darjat dan martabat mereka direndahkan. Islam telah mengangkat maruah dan martabat wanita daripada barang dagangan di zaman Jahiliyyah kepada semulia makhluk. Jangan kerana tuntutan suara minoriti atas nama hak asasi manusia, budaya dan nilai agama diremehkan pelakuan Jahiliyyah dibanggakan.

Adakah ini bertepatan dengan konsep Rahmatan Lil ‘Alamin yang diperkenalkan oleh kerajaan? Umno menggesa kerajaan memandang serius isu seperti ini dan tindakan segera diambil, tidak cukup sekadar menurunkan papan iklan tetapi memerlukan pemantauan yang berterusan.

Isu keadilan untuk arwah Muhammad Adib Mohd Kassim dipandang sepi, walau sudah genap setahun arwah meninggalkan kita. Namun cahaya keadilan kepada arwah belum kelihatan, rakyat menunggu apakah kesudahan isu ini?

Tiba-tiba isu Surat akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani Cif Inspektor Azilah Hadri berhubung dakwaan pembabitan bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu menjadi perhatian dan kertas siasatan akan dibuka semula. Walaupun Najib sudah berkali-kali menafikan keterlibatan beliau dalam kes ini.

Mungkinkah ini sebagai teknik mengalihkan perhatian rakyat daripada pelbagai masalah yang sedang melanda negara ini kesan daripada kelemahan dan kepincangan pentadbiran serta pengurusan negara? Semoga Allah SWT mengurniakan ketabahan dan ketenangan kepada Najib menghadapi mehnah dan tribulasi ini.

Bagi mengembalikan negara dan rakyat ke landasan asal, kecelaruan dan ketidakseimbangan politik perlu ditangani segera. Jika keadaan ini dibiarkan julukan Malaysia negara gagal the failed states yang pernah dijaja dan dimomok oleh pembangkang dahulu, kini menjadi kerajaan ia menjadi satu kenyataan.

Apa alternatif yang boleh ditawarkan oleh Umno, BN dan Muafakat Nasional bagi membendung kecelaruan dan ketidakseimbangan politik ini? Menjawab kepada persoalan ini Umno pasca Perhimpunan Agung Umno 2019 telah mula bergerak ke arah penerapan politik berimbang sebagai salah satu budaya dalam gerak kerja dan perancangan.

Sepertimana yang saya tekankan dalam ucapan dasar “kita perlu mengubah Umno kepada budaya politik berimbang berasaskan prinsip perjuangan, keterbukaan dan perundingan selagi asas-asas perlembagaan dan kontrak sosial tidak dicabuli”.

Presiden Indonesia Joko Widodo atau Jokowi mengambil langkah berani melantik Prabowo Subianto menganggotai kabinetnya. Pelantikan ini dilakukan Jokowi bagi mewujudkan kestabilan kuasa politik dan membentuk politik berimbang dalam pentadbirannya. Umno juga telah mengambil langkah menjadikan politik berimbang dan Muafakat Nasional sebagai pemacu politik baharu Malaysia sebagai jawapan kepada kecelaruan politik hari ini.


AHMAD ZAHID HAMIDI ialah presiden Umno merangkap anggota parlimen Bagan Datuk.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS