Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: Kongres Organisasi Cina bantah Jawi akan bawa kekacauan
Diterbitkan:  Dec 20, 2019 3:37 PM
Dikemaskini: 7:54 AM

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengingatkan bahawa penganjuran Kongres Organisasi Cina oleh kumpulan pendidikan Cina, Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) akan membawa kepada kekacauan.

Mahathir berkata kumpulan Melayu akan bertindak balas dengan "cara yang sangat Melayu" sekiranya kongres itu diteruskan.

"(Jika) mereka mahu melakukan sesuatu yang sangat Cina, respons orang Melayu akan sangat Melayu, (termasuk) meminta sekolah-sekolah Cina ditutup. Jika anda melakukan perkara seperti itu (Kongres Organisasi Cina) dan anda akan mendapat reaksi.

"Kita (berada di negara) berbilang kaum, adalah penting bagi kita untuk mengambil berat tentang perasaan orang lain," katanya ketika melawat pusat media di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 hari ini.

Memetik contoh negara lain yang tidak disebut secara spesifik, beliau berkata serangan ke atas kaum lain dan perlembagaan akan menyebabkan bantahan dan pertempuran jalanan, dan seterusnya boleh menyebabkan orang akan mula berhijrah.

"Jika anda mula membuat serangan terhadap kaum lain atau melanggar perlembagaan, keputusan akhir akan menjadi kekacauan dan ketidakstabilan.

"Semua orang akan menjadi miskin, kita akan melihat rakyat Malaysia berpindah ke negara lain," katanya.

Dong Jiao Zong merancang untuk menganjurkan Kongres Organisasi Cina sebagai membantah garis panduan mengenai pengajaran tulisan Jawi.

Tujuan kongres itu adalah untuk meyakinkan kerajaan membatalkan pengajaran tulisan Jawi di sekolah-sekolah vernakular.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS