Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kabinet setuju AGC wakili k'jaan kes peguam cabar sekolah vernakular
Diterbitkan:  Dec 20, 2019 5:23 PM
Dikemaskini: 9:23 AM

Kabinet bersetuju Pejabat Peguam Negara akan mewakili sekolah vernakular susulan seorang peguam memfailkan saman mencabar penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), maklum Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.

Menurutnya, kabinet telah membuat keputusan bahawa Pejabat Peguam Negara (AGC) mewakili Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Kabinet mengambil keputusan bahawa pihak guaman daripada Pejabat Peguam Negara akan mewakili kerajaan ekoran tindakan saman terhadap SJK (T) dan SJK (C) di mahkamah tinggi," katanya.

Jelas Kulasegaran, PH akan memastikan sekolah vernakular tetap berfungsi.

"Sekolah vernakular berfungsi di Malaysia sekian lama. Namun, baru-baru ini ada pihak ingin mencabarnya. Hasrat mereka tidak akan tercapai pada bila-bila masa pun.

"Kerajaan PH akan terus memastikan sekolah vernakular tetap berfungsi di negara ini," tambah beliau.

Pada 17 Dis, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz (gambar, bawah) melalui peguamnya hari ini memfailkan saman tersebut di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana tidak setuju dengan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

Khairul Azam memfailkan saman itu dengan menamakan dirinya sebagai plaintif tunggal manakala Menteri Pendidikan Malaysia dan Kerajaan Malaysia pula dinamakan sebagai defendan.

Saman itu bagi mencabar seksyen 17 Akta Pendidikan, yang menyatakan bahawa bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah Seksyen 28, atau mana-mana institusi pendidikan yang dikecualikan oleh menteri daripada subseksyen ini.

Turut dicabar adalah seksyen 28 Akta yang sama, yang menyatakan bahawa tertakluk kepada peruntukan akta, menteri pendidikan boleh menubuhkan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan, dan menyelenggarakan sekolah-sekolah berkenaan.

Beliau yang merupakan naib presiden parti Putra, sebelum ini turut mencuri perhatian selepas memfailkan saman di mahkamah untuk mencabar kesahihan sekolah vernakular pada 23 Okt lepas.

Mahkamah tinggi bagaimanapun pada 11 Nov lalu menolak permohonan Khairul Azam untuk meneruskan cabaran tersebut.

Lihat Komen
ADS