Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: Sengaja atau tidak, ada pihak salah faham niat kami

Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 berakhir hari ini, dan program yang mengumpulkan sejumlah negara Muslim selama empat hari itu mencetuskan sedikit kontroversi di peringkat antarabangsa sehingga Dr Mahathir Mohamad sekalipun tidak dapat mengabaikannya.

Ketika menyampaikan ucapan penutupnya di Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC) hari ini, perdana menteri membangkitkan kontroversi tersebut, terutama kritikan daripada Arab Saudi walaupun tidak menyebutnya secara langsung.

"Sebelum kita sebut apa yang berlaku, dibincang, dibahas dan dipersetujui sepanjang tiga hari ini, saya mahu kita berhenti sejenak dan melihat kembali mengapa kita mahu mengadakan sidang ini, dan apa yang kita harap dapat dicapai.

"Diakui, ada yang salah faham niat kita, sama ada sengaja atau tidak. Ada yang merasa terhina dan ada juga yang sangsi.

"Tetapi sekarang saya pasti bahawa jelas pandangan negatif tersebut tidak betul dan tiada justifikasi," katanya.

Arab Saudi yang tidak menyertai sidang itu sebelum ini berkata ia platform yang salah untuk membincangkan isu umat Islam, dan menyuarakan kebimbangan bahawa ia bertujuan mewujudkan platform baru bagi menyaingi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dipimpinnya.

Lebih menarik perhatian, antara negara yang menyertai sidang kemuncak ini ialah dua negara yang berseteru dengan Arab Saudi, iaitu Iran dan Qatar.

Dalam ucapannya, Mahathir menyangkal dakwaan bahawa sidang itu mahu menggantikan platform sedia ada umat Islam.

"Kami di sini bukan untuk menggantikan mana-mana platform Muslim. Kami juga tidak berniat mewujudkan kategori atau kelas berbeza bagi negara Muslim atau menjejaskan negara lain.

"Ia perkumpulan beberapa negara Muslim, di mana sebahagian pemimpinnya mahu berkumpul untuk membincangkan beberapa perkara yang mungkin boleh diwujudkan kerjasama, yang pertamanya akan memberi manfaat kepada negara terlibat dan kemudian dibawa ke platform lebih besar dan kerjasama yang memberi manfaat kepada dunia Islam secara keseluruhan," katanya lagi.

Mahathir menyuarakan kebanggaannya apabila sidang itu menyaksikan 18 pertukaran instrumen berjaya diadakan, meliputi pelbagai bidang seperti teknologi tinggi, kerjasama media, keselamatan makanan, kepimpinan belia dan program pertukaran.

"Walaupun ia mungkin tidak dapat mengurangkan kesangsian dan bantahan, kami ingin sekali lagi menegaskan bahawa sidang ini fokus kepada objektifnya, iaitu mencari penyelesaian dan program yang kami yakin dapat membantu dan akhirnya menyelamatkan ummah daripada kegetiran pada masa ini," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS