Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Serba Dinamik komited 'selamatkan' loji biogas Felcra

WAWANCARA | Serba Dinamik Holdings Bhd menyatakan komitmen untuk menyiapkan lima loji biogas yang lama tertangguh, untuk Felcra paling lewat pada 2021.

Ketua pegawai kewangannya Syed Nazim Syed Faisal menjelaskan mengapa dan bagaimana syarikat minyak dan gas itu terlibat dalam projek tenaga boleh diperbaharui itu.

Syarikat yang disenarai di Bursa Malaysia itu mula terlibat pada tahun lalu, setelah membeli 25 peratus pegangan dalam Green & Smart Holdings PLC. Ia juga mengambil alih peranan sebuah subsidiari Green & Smart Holdings PLC sebagai kontraktor turnkey.

Menurut Nazim, langkah itu merupakan sebahagian daripada rancangan pempelbagaian syarikat.

"Tujuan Serba Dinamik memperoleh Green & Smart Holdings tentunya untuk meningkatkan kebolehan kami untuk menempatkan syarikat sebagai pembekal khidmat kejuruteraan secara keseluruhan.

"Beberapa tahun ini, Serba Dinamik telah cuba untuk ke arah inisiatif tenaga hijau dan boleh diperbaharui. Dan kedudukan kami dalam Green & Smart Holdings akan memboleh kita untuk lebih kukuh dalam industri ini," katanya ketika ditemui di ibu pejabat Felcra di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Syed Nazim Syed Faisal

Wawancara itu adalah sebagai respons kepada laporan Malaysiakini berkenaan projek Megagreen.


Baca: Peserta tuntut jawapan projek loji biogas RM35 juta Felcra terbiar


Nazim memaklumkan Green & Smart Holdings disenaraikan dalam Pasaran Pelaburan Alternatif (AIM) - sebuah sub-pasaran di Bursa Saham London untuk syarikat lebih kecil.

Sasaran kekal walau masalah lesen

Pada Disember 2014, Felcra memeterai perjanjian dengan Megagreen Energy Sdn Bhd untuk mendanai, membina, mengoperasi dan memiliki lima loji biogas.

Subsidiari Green & Smart Holdings, Green & Smart Sdn Bhd merupakan pemegang saham minoriti dan menjadi kontraktor turnkey yang asal.

Pada 2016, projek itu tertangguh selepas Megagreen berdepan masalah kewangan.

Selepas perubahan kerajaan pada tahun lalu, pengurusan baru Felcra melaporkan projek itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Bung Moktar Radin, bekas pengerusi Felcra dan bekas pengarah Megagreen, dijangka akan disoal siasat oleh SPRM.

Projek itu diteruskan selepas penglibatan Serba Dinamik.

Dua logi biogas di di Perak - terletak di Nasaruddin dan Seberang Perak - yang sebelum ini tidak beroperasi kini dijangka siap dalam suku pertama 2020.

Bagaimanapun tiga lagi loji - di Sungai Melikai dan Bukit Kepong di Johor, dan di Maran, Pahang - masih berdepan masalah.

Nazim berkata, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Seda) membatalkan lesen tiga loji itu, memandangkan loji di Sungai melikai tidak siap manakala loji di Bukit Kepong dan Maran tidak dibina.

Beliau memberi jaminan yang isu itu akan ditangani.

"Bila-bila masa kami boleh pergi (apabila) Seda membuka e-bidding mereka. Kita boleh membida semula projek itu...

"Kelajuan penyampaian (projek) juga seharusnya bukan isu kerana strukturnya telah tersedia. Reka bentuk loji dan keperluan sebelum ini sudah ada dan tersedia.

"Bergantung kepada semua kelulusan yang diperlukan, kita harap dapat bermula (pembinaan) dalam separuh kedua tahun depan dan siap pada 2021," katanya lagi.

Di bawah Seda, hanya pemegang lesen Feed-in-Tariff (FiT) yang boleh menjual tenaga boleh diperbaharui kepada kerajaan mengikut kadar FiT.

Pinjaman 'tidak pernah dibayar'

Selain masalah pembinaan dan perlesenan, Nazim mendedahkan bahawa "anggaran kasar kira-kira RM30 juta" daripada pinjaman Megagreen yang berjumlah Rm35.25 juta untuk projek itu tidak dibayar.

Rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan Megagreen menerima pinjaman itu daripada RHB Islamic Bank Bhd pada 9 Jun 2015.

"Pinjaman itu tak pernah dibayar sebelum ini...

"Apa yang mereka (Megagreen) kata ialah mereka telah bayar bahagian faedah dan sebahagian nilai prinsipal. Kami masih ada jumlah yang besar yang perlu dijelaskan."


BacaFelcra: Loji biogas di Perak sedang dibina, dijangka siap suku pertama 2020


Katanya lagi, pihaknya ada pelan pembayaran semula pinjaman, dan menegaskan ia tidak akan melibatkan wang daripada Felcra mahupun pesertanya.

Sebaik sahaja dua loji di Perak beroperasi, beliau menjangka aliran tunai yang akan dijana daripada penjualan tenaga akan membantu menyelesaikan pinjaman itu.

Ditanya berkenaan siapa yang bertanggungjawab dalam menjamin pembayaran hutang itu, Nazim berkata pemilik baru Megagreen - K2M Ventures Sdn Bhd.

Menurutnya, K2M dalam proses membeli majoriti pegangan Mega Hijau Makmur Sdn Bhd (70 peratus secara keseluruhan) dalam Megagreen. Pengambilalihan itu dijangka selesai pada akhir tahun ini.

Nazim berkata, beliau tidak maklum akan jumlah wang yang terlibat. Setakat laporan ini ditulis, rekod SSM berkenaan Megagreen belum menunjukkan pemindahan saham itu.

Katanya lagi, dua pemilik K2M - R Saravanan dan B Navindran - telah memberi jaminan peribadi untuk pinjaman itu, selain jaminan korporat asal oleh Green & Smart Sdn Bhd.

K2M juga merupakan pemegang saham majoriti Green & Smart Sdn Bhd.

Dari sisi pemilikan efektif, aturan itu bermakna K2M akan memiliki kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan projek loji biogas apabila pengambilalihan dimuktamadkan.

Serba Dinamik, menerusi pegangannya dalam Green & Smart, memiliki 1.8 peratus pegangan.

Nazim berkata, syarikatnya telah meminta pengambilalihan K2M sebelum ia setuju untuk menyertainya. Ia bagi meminimumkan pendedahan dalam soal pembayaran semula pinjaman dan pada masa sama masih boleh beroperasi sebagai kontraktor turnkey baru.

"Tujuannya ialah untuk melangkah ke depan, kami telah meminta syarikat yang menjadi pemegang saham terbesar dalam Green & Smart untuk mengambil alih kedudukan Mega Hijau Makmur dalam Megagreen. K2M Ventures akan mengambil alih Mega Hijau Makmur...

"Bagi kami, pendedahan kami sudah cukup besar dalam Green & Smart, jadi bagi kami ia untuk memahami bagaimana menguruskan projek ini," katanya.

Selain peranannya dalam Serba Dinamik, Nazim juga dilantik sebagai pengarah eksekutif Green & Smart Sdn Bhd pada Nov lalu, selain salah seorang pengarah dalam K2M Ventures.

Aliran pendapatan baru Felcra

Sebaik saja isu itu diselesaikan, Nazim yakin loji biogas akan mewujudkan nilai untuk Serba Dinamik.

Selain kemasukannya dalam industri tenaga boleh diperbaharui, syarikat itu menyasarkan kadar pulangan dalaman (IRR) sebanyak 15 peratus daripada projek Megagreen.

Beliau bagaimanapun enggan memberikan perangkaan yang terperinci.

Projek biogas itu juga dijangka menjadi sumber pendapatan baru Felcra yang berdepan masalah tunai. perniagaan asas entiti milik kerajaan itu ialah minyak sawit, getah dan padi.

"Tujuannya ialah untuk menyelematkan apa yang boleh bagi projek ini.

"Peranan Serba Dinamik ialah memastikan penyampaian projek dilaksana. Kami menggunakan kemahiran sumber manusia, teknikal dan teknologi untuk memastikan projek ini boleh disiapkan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS