Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sg Semenyih masih tercemar setakat 6 pagi ini
Diterbitkan:  Dec 23, 2019 9:34 AM
Dikemaskini: 1:42 AM

Loji rawatan air di Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi masih ditutup setakat hari ini dan akan kekal ditutup sehingga bacaan pencemaran bau turun ke sifar TON (ukuran kadar bau).

Berdasarkan pemantauan sampel air, Pengurusan Air Selangor berkata bacaan pencemaran telah mencapai dua TON pada jam 6 pagi ini.

Ini meskipun usaha berterusan sedang digerakkan oleh beberapa pihak yang terlibat untuk menyelesaikan masalah sebaik sahaja pencemaran itu dikesan di Sungai Semenyih pada Sabtu lepas.

"Berdasarkan pemantauan yang dijalankan sehingga 6.00 pagi ini, kadar pencemaran bau masih kekal di paras 1 TON dan adakalanya naik ke 2 TON.

"Sehubungan itu, pihak kami masih tidak dapat memulakan pengoperasian Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi sehingga pencemaran bau mencapai tahap kekal 0 TON.

"Ini bagi mengelakkan sebarang insiden bau yang tidak diingini berlaku pada air terawat di loji rawatan air dan seterusnya sampai kepada pengguna," kata Air Selangor dalam kenyataannya hari ini.

Syarikat bekalan air itu menyuarakan rasa kesal dengan pihak yang tidak bertanggungjawab yang mencemarkan sungai itu sehingga menyebabkan gangguan bekalan air kepada 336,930 pengguna di empat daerah.

Berikutan pemotongan air untuk sementara waktu itu, Air Selangor berkata pihaknya mengedarkan bekalan air kecemasan ke kawasan terjejas di daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Maklumat mengenai kawasan bekalan air boleh didapati di laman webnya.

LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti beroperasi pada Sabtu lalu, bagi mengelak air terawat yang disalurkan kepada pengguna terjejas.

Pembuangan sisa secara haram ke dalam lurang (lubang periksa) kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) oleh pihak tidak bertanggungjawab dikenalpasti menjadi punca pencemaran bau di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) semalam berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melakukan perbuatan sangat tidak boleh diterima itu.

Ini bukan kali pertama kejadian pencemaran air berlaku di Selangor pada tahun ini, menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna.

Pada bulan Julai, kira-kira satu juta pengguna di 1,133 kawasan di Lembah Klang menghadapi masalah gangguan bekalan air kerana pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Seterusnya, dua bulan kemudian, penutupan bekalan air selama 13 jam berlaku akibat pencemaran bau, juga di Sungai Semenyih.

Lihat Komen
ADS