Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis mungkin panggil Najib sebab dituduh terlibat bunuh Altantuya

Polis tidak menolak kemungkinan akan memanggil bekas perdana menteri Najib Razak bagi menyiasat tuduhan terbaru yang mendakwa beliau mengarahkan pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, berkata demikian semasa menjelaskan terdapat puluhan individu akan yang dipanggil berhubung perkara itu.

"Berpuluh-puluh orang semuanya," katanya pada sidang akhbar ketika ditanya jika Najib akan dipanggil pihak berkuasa.

Isnin lepas, Malaysiakini melaporkan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri telah memohon untuk mengkaji semula sabitan pembunuhannya di Mahkamah Persekutuan.

Azilah Hadri dalam akuan berkanun (SD) yang dibuatnya mengakui buat pertama kali Najib telah mengarahkan dia membunuh Altantuya.

Azilah juga mendakwa Najib meyakinkannya bahawa Altantuya ialah seorang perisik asing yang menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara.

Pada 2015, Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan untuk membebaskan Azilah dan seorang lagi bekas anggota UTK polis Sirul Azhar Umar.

Walau bagaimanapun, Sirul telah melarikan diri ke Australia selepas pembebasannya dan kini berada di pusat tahanan imigresen di Sydney.

Minggu lalu, Najib melakukan sumpah laknat menafikan beliau mengarahkan pembunuhan Altantuya.

Sehubungan itu, Abdul Hamid berkata pihaknya telah memanggil beberapa saksi untuk membantu siasatan.

Katanya, polis tidak akan berdiam diri terhadap sebarang kes yang menggugat isu keselamatan dan akan mengambil tindkan yang sesuai.

"Tindakan berhubung SD Azilah telah pun berjalan, beberapa saksi individu, telah pun disenaraikan untuk dipanggil, untuk diambil kenyataan

"Dan sudah tentu pihak polis akan tunggu apa jua arahan-arahan spesifik yang mungkin ada daripada Jabatan Peguam Negara, tetapi dalam modus operandi pasukan polis ini sudah ada apakah SOP untuk tindakan-tindakan yang perlu kita ambil, itu dah ada, kita jalankan," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS