Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengosongan tanah Kuala Terla demi kepentingan umum, kata setiausaha negeri
Diterbitkan:  Dec 23, 2019 9:15 PM
Dikemaskini: 1:15 PM

Keputusan kerajaan negeri Pahang berhubung arahan mengosongkan tanah kepada 60 pekebun daripada kawasan tadahan air di Kuala Terla, Cameron Highlands adalah berlandaskan kepentingan umum bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan memelihara kepentingan rakyat.

Dalam satu kenyataan hari ini, setiausaha kerajaan negeri, Dr Sallehuddin Ishak berkata bahawa tindakan kerajaan negeri juga berlandaskan undang-undang.

"Bagi kawasan ini sejumlah 11 penerokaan haram terlibat bagi peringkat pertama dan 37 penerokaan bagi peringkat kedua. Keseluruhan kawasan terlibat adalah 121 hektar (300 ekar) di mana 24 hektar (60 ekar) bagi peringkat pertama dan 97 hektar (240 ekar) bagi peringkat kedua.

"Tindakan diambil di bawah peruntukan Seksyen 425(1) Kanun Tanah Negara 1965 kerana menduduki tanah kerajaan tanpa izin sejak tahun 2009. Notis mengosongkan telah dikeluarkan sejak 19 Ogos 2009 tetapi aktiviti penerokaan tanpa izin masih diteruskan selepas itu," katanya.

Menurutnya, notis bagi peringkat pertama telah dikeluarkan pada 18 Februari 2019 dan tindakan penguatkuasaan peringkat pertama melibatkan 11 kawasan penerokaan telah dilaksanakan bermula 25 Februari sehingga 19 Mac 2019.

Notis pengosongan peringkat kedua kepada baki 37 penerokaan tanpa izin telah dikeluarkan pada 14 mac 2019.

Kaya Sallehuddin, tindakan meroboh yang telah dilaksanakan di Sungai Ichat (Kuala Terla) sebelum ini telah dihentikan apabila peneroka-peneroka telah memperolehi perintah untuk injunksi interim bertarikh 11 Mac 2019 daripada Mahkamah Tinggi Kuantan.

"Walaubagaimanapun, plaintif-plaintif dalam saman pemula ini telah menarik balik permohonan mereka di mahkamah dan memberhentikan tindakan saman tersebut pada 30 September 2019," katanya.

Susulannya, pada mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail pada 9 Disember 2019 telah bersetuju agar Ops Lestari 2 diteruskan dan penempatan pasukan keselamatan ATM dan PGA ke daerah Cameron Highlands bermula 16 Disember 2019.

"Bagi memastikan kawasan tadahan air Kuala Terla berkait Sungai Ichat, Mukim Ulu Telom Daerah Cameron Highlands ini terus terpelihara, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang pada 13 Mac 2019 telah meluluskan pewartaan kawasan terbabit seluas 121.12 hektar (300 ekar) sebagai Hutan Simpan Sungai Ichat," katanya.

Tambah Sallehuddin, keputusan kerajaan negeri sejajar dengan titah Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di daerah Cameron Highlands pada 7 September 2019.

"Baginda turut menitahkan agar semua pihak menghentikan segera pencerobohan di kawasan tadahan air Kuala Terla khususnya Sungai Ichat di bawah Mukim Ulu Telom," jelasnya sambil berkata baginda juga meninjau tapak pencerobohan Sungai Ichat di Kuala Terla pada tarikh yang sama.

Terdahulu, MIC merakamkan rasa kecewa dengan tindakan kerajaan negeri yang tidak menyediakan tanah alternatif kepada 60 pekebun yang menduduki di Kuala Terla sejak 40 tahun.

Pegawai khas kepada Wan Rosdy, V Arumugam bersama 11 ahli majlis tempatan MIC turut letak jawatan sebagai tanda protes dengan keputusan kerajaan negeri.

Sementara itu, Dr Sallehuddin berkata bahawa kerajaan negeri juga komited untuk meneruskan tindakan penguatkuasaan ini dan tidak akan berkompromi demi memastikan kelestarian serta kesejahteraan rakyat di daerah Cameron Highlands.

"Loji air Kuala Terla adalah Loji air yang terpenting dan terbesar menyalurkan lebih 70% kepada keperluan air bersih di Cameron Highlands (meibatkan 8,332 akaun).

"Loji ini mempunyai ‘design flow capacity’ air mentah sebanyak 855m3/jam.jam.Tetapi buat masa ini, Sungai Terla hanya mampu menyediakan 580m3/jam dan kadangkala berkurangan.

"Aliran air mentah kini sudah tidak mampu menampung keperluan semasa dan pembangunan akan datang di Cameron Highlands buat masa terdekat ini. Justeru, untuk meningkatkan lagi jumlah aliran air mentah,maka air mentah dari Sungai Ichat amat diperlukan," katanya.

MCA minta TPM campur tangan

Sementara itu, Naib Presiden MCA Ti Lian Ker mendesak satu "penyelesaian politik" untuk pekebun-pekebun di Cameron Highlands walaupun sekumpulan pekebun telah membawa isu mereka ke mahkamah.

"MCA mendesak agar Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands, yang dipengerusikan oleh Wan Azizah bersama dengan Wan Rosdy menyelesaikan isu ini dengan memberi perhatian kepada kerugian ekonomi dan kesengsaraan semasa rakyat dalam negara.

"MCA menghormati hak kumpulan ini untuk menyelesaikan perkara tersebut melalui sistem perundangan, tetapi berpendapat adalah lebih baik perundingan diadakan di antara pihak plaintif dengan pihak berkuasa bagi mencapai situasi menang-menang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, keputusan pencerobohan atas Ops Lestari 2 dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengenepikan janj-janji politik pemimpin-pemimpin PH khususnya dari DAP.

"DAP yang berjanji kerajaan persekutuan yang dikuasai mereka akan melindungi pekebun-pekubun ini semasa PRK Cameron Highlands pada awal tahun ini. Mereka telah mengatakan kuasa MKN adalah di bawah PH dan bukannya BN.

"Tindakan perobohan yang diambil atas arahan pihak kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri untuk meneruskan Ops Lestari 2 bermula bulan ini adalah bertentangan dan satu lagi kemungkiran janji PH dan DAP apabila keputusan perobohan dibuat oleh Jawatankuasa Khas Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands," tambahnya.

Untuk rekod, pada 14 Oktober 2019 dalam sidang MKN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah diputuskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Dan Pasukan Gerak Am PDRM (PGA) di atur gerak dan ditempatkan di daerah Cameron Highlands bagi membantu usaha mengekang aktiviti pencerobohan di kawasan itu.

Lihat Komen
ADS