Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahli Amanah lapor polis penceramah dakwa Malaysia 'negara komunis'

Seorang anggota jawatankuasa Amanah Kawasan Bukit Gantang, Muhamad Nur Ismail, membuat laporan polis semalam terhadap individu yang merupakan seorang penceramah, yang mendakwa kerajaan Malaysia diperintah seperti komunis.

Menurutnya, laporan itu dibuat di Balai Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping, Perak.

Muhamad Nur berkata, dia mendapati individu tersebut dalam satu video membuat kenyataan berunsur fitnah dan menghasut dengan membuat dakwaan sedemikian.

"Saya membuat laporan ini supaya polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan terhadap individu tersebut kerana menghasut rakyat membenci kerajaan dengan tuduhan kerajaan ala komunis, Kerajaan tidak peduli agama Islam dan memerintah seperti komunis.

"Sedangkan kita semua tahu, kerajaan persekutuan sekarang dipilih secara sah melalui mandat rakyat dalam pilihan raya umm lalu," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Semakan Malaysiakini mendapati video ceramah tersebut dimuat naik di sebuah laman Facebook bernama Malaysia Sentral, semalam.

Rakaman video itu berdurasi 16 minit dan tidak dapat dipastikan sama ada ia disunting atau tidak.

Antara ucapan individu tersebut berbunyi:

"Hari ini kita kena sedar bahawa negara kita adalah negara komunis, kita bukan diperintah oleh mereka yang mengaku diri mereka sebagai pemimpin Islam, yang mengaku mereka adalah pemimpin rakyat Malaysia tetapi mereka adalah pemimpin komunis dan mementingkan bangsa mereka untuk menghancurkan negara kita Malaysia.

"Kita kena sedar negara kita adalah negara komunis," katanya seperti dipetik dalam video tersebut.

Muhamad Nur menyifatkan dakwaan penceramah itu sebagai sangat melampau dan berniat jahat untuk menghasut orang ramai mendengar ucapan dan mempercayai hasutannya.

"Perkara ini boleh menyebabkan ketegangan dan keresahan di kalangan rakyat. Kita berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dan tindakan sewajarnya di bawah Akta Hasutan dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan," katanya.

Malaysiakini sedang mendapatkan komen daripada penceramah tersebut berhubung laporan polis yang dibuat terhadapnya itu.

Lihat Komen
ADS