Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penduduk Kg Segambut Permai diberi tempoh 14 hari lagi

Perobohan hampir 30 rumah yang terletak di Kampung Segambut Permai di atas tanah persendirian hari ini dihentikan selepas pemilik tanah memberi tempoh 14 hari lagi agar penduduk berpindah sebelum pihaknya menjalankan proses perobohan.

Hasil perbincangan bersama pemilik tanah, wakil penduduk dan pihak bailif mahkamah bersetuju dengan penduduk akan diberi tempoh 14 hari lagi sebelum pihak pemilik tanah melakukan perobohan.

Wakil penduduk, Mohd Fariz Ramli dan Mohd Nazeem Sultan Mohamed bersetuju untuk memberikan satu surat aku janji di mana kesemua 30 keluarga akan berpindah dalam tempoh 14 diberikan.

Manakala, pihak pemilik tanah juga berjanji akan membayar pampasan yang dijanjikan secara sepenuhnya sebelum tempoh 14 hari diberikan kepada mereka yang berpindah.

"Kami tidak ada masalah untuk berpindah. Cuma kami nak sedikit masa untuk berbincang dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung rumah PPR (Projek Perumahan Rakyat) yang ditawar kepada kami.

"Lepas itu kami akan jumpa dengan menteri (Khalid Samad) agar dapat menyelesaikan masalah ini dalam masa 14 hari," kata Nazeem kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan pemilik tanah dan pihak bailif mahkamah.

Tanah Kampung Segambut Permai, yang dibeli oleh sebuah syarikat swasta dirancang dengan pelan pembangunan mendapat perintah mahkamah telah dikeluarkan pada 26 September untuk perobohan.

Tetapi pemilik tanah bersetuju menangguhkan perobohan tersebut sehingga Disember, dan dalam masa itu, sebahagian penduduk telah berpindah keluar.

Pada 9 Disember, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad campur tangan, meminta tambahan dua minggu terhadap penangguhan itu bagi membolehkan kementeriannya mengatur kediaman alternatif buat penduduk yang masih kekal di situ.

Hal ini turut dinyatakan dalam perjanjian bertulis yang ditandatangani Khalid sendiri.

Namun, Setiausaha Agung PSM, A Sivarajan, DBKL hanya memperuntukkan unit PPR kepada 19 keluarga sahaja daripada jumlah 30 keluarga yang menetap di situ.

"Lebih menyedihkan, DBKL juga menetapkan syarat kepada 19 keluarga yang supaya perlu meninggalkan unit PPR selepas enam bulan," katanya kepada pemberita yang turut berada di situ.

"Jadi, persoalannya bagaimana selepas enam bulan?" tanya beliau.

"DBKL dan Khalid perlu memberikan satu penyelesaian penuh kepada penduduk ini," tambahnya lagi.

Terdahulu, ketika dihubungi, Khalid berkata kementeriannya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah cuba membantu penduduk, sehingga melangkaui kapasiti yang sepatutnya.

“Mereka mendiami tanah persendirian, bukan tanah kerajaan. DBKL tak perlu campur tangan, tapi kami tak sanggup (melihat) keluarga itu tinggal di jalanan kerana rumah mereka dirobohkan,” katanya.

Tambahnya, meskipun terdapat 50,000 senarai menunggu untuk rumah PPR, kementeriannya membenarkan penduduk Kampung Segambut Permai memotong giliran semata-mata bagi memastikan mereka tidak hidup bergelandangan.

Lihat Komen
ADS