Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO India Muslim serah memo bantah undang-undang warganegara baru

Sekumpulan NGO India Muslim hari ini menyerahkan memorandum bantahan terhadap undang-undang baru kewarganegaraan di India kepada pesuruhjaya tinggi negara itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Sejumlah 20 wakil daripada 10 NGO hadir menyerahkan memorandum itu. Mereka berkata memorandum itu turut disokong lebih 70 NGO India Muslim lain.

Antara NGO yang terlibat ialah Dewan Perniagaan dan Industri India Muslim Malaysia (MIMCOIN), Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim), Liga Muslim Penang, Gabungan Persatuan Malabari Malaysia (Umma), Persatuan Sahabat India Muslim Selangor dan Kuala Lumpur.

Memorandum itu menyatakan bantahan terhadap Akta Pindaan Kewarganegaraan (CAA) yang memberi kewarganegaraan kepada pendatang beragama Hindu, Sikh, Buddha, Jain, Parsi dan Kristian dari tiga negara - Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan - yang masuk ke India sebelum 31 Disember 2014.

Memorandum itu turut membantah pelaksanaan Daftar Penduduk Kebangsaan (NRC) yang mensyaratkan rakyat membuktikan kewarganegaraan mereka.

Meskipun mengakui hak India terhadap undang-undang dalam negaranya, kumpulan NGO itu meluahkan kebimbangan bahawa CAA akan memberi kesan kepada masyarakat minoriti lain di seluruh dunia, apabila peminggiran agama tertentu - dalam kes CAA, agama Islam - akan dijadikan duluan oleh negara lain untuk membuat undang-undang sama.

Wakil kumpulan NGO itu dilihat masuk ke pejabat Pesuruhjaya Tinggi India pada kira-kira pukul 11.15 pagi dan keluar kira-kira 45 minit kemudian.

Memorandum itu diterima Timbalan Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia, Archana Nair.

Dalam sidang media selepas penyerahan memorandum, Presiden MIMCOIN Syed Jamarulkhan MS Khadir berkara pihaknya berharap kerajaan India dapat memulihkan keadaan atau menggubal undang-undang yang melayan semua rakyat sebagai sama rata dari segi kewarganegaraan.

"...Kalau dicantum NRC dengan CAA, orang Islamlah yang akan mendapat tamparan hebat, sebaab jika mereka tiada bukti (sebagai warga walaupun merupakan penduduk India), mereka akan dilabel sebagai pelarian (mengikut CAA)," katanya yang mengetuai kumpulan NGO itu.

Syed Jamarulkhan MS Khadir

Katanya lagi, pihaknya juga menyuarakan kebimbangan penguatkuasaan NRC akan menyebabkan rakyat India beragama Islam bertukar status kepada pelarian.

Bagaimanapun beliau berkata pesuruhjaya tinggi India memaklumkan NRC tidak akan dikuatkuasakan.

Untuk rekod, Perdana Menteri India Narendra Modi pada 22 Disember lalu dilaporkan berkata pentadbirannya tidak pernah menyebut apa-apa berkenaan NRC, kecuali yang dijalankan di negeri Assam.

Setiausaha Agung MIMCOIN Shahul Hameed Dawood pula berkata, CAA dan NRC bukan saja memberi kesan kepada orang Islam di India, tetapi "sesiapa sahaja yang tidak tergolong dalam kriteria ditetapkan".

"Mereka (pihak pesuruhjaya tinggi) memberi jaminan akan membawa perkara ini ke pengetahuan kerajaan India, dan mereka akan memberi maklum balas kepada kami. Ini merupakan pertemuan yang baik," katanya lagi.

"Saya rasa, ia merupakan pertemuan yang baik dengan pihak Pesuruhjaya Tinggi India,

Dewan Rakyat India meluluskan CAA pada 9 Disember lalu, sebelum diluluskan di peringkat Dewan Negara dua hari kemudian. Ia terus dikuatkuasakan sebagai undang-undang sehari keumdian.

Undang-undang itu mencetuskan protes di India sehinga menyebabkan korban nyawa setakat ini seramai 16 orang.

Pengkritik menyifatkan undang-undang itu sebagai diskriminasi terhadap mereka yang beragama Islam serta langkah awal terhadap pelan kerajaan Modi untuk melaksanakan NRC.

Lihat Komen
ADS