Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Apandi letak jawatan, dakwa campur tangan kes Hisham
Diterbitkan:  Dec 26, 2019 5:24 PM
Dikemaskini: 9:35 AM

Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Mohamed Apandi Ali mendakwa ada usaha campurtangan dalam prosiding disiplin terhadap ahli parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein.

Prosiding, yang sepatutnya berlangsung hari ini, tidak menjadi kenyataan.

"Saya tidak arahkan sebarang penangguhan, ada yang tidak kena," katanya dipetik sebagai berkata oleh portal Malay Mail.

Berikutan penangguhan itu, Apandi, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi lembaga disiplin Umno.

"Saya telah mengarahkan setiausaha lembaga untuk menyediakan surat peletakan jawatan saya sebagai pengerusi dan ia berkuatkuasa serta merta.

"Saya tidak sanggup menjadi kuda tunganggan. Maruah saya lebih penting dari jawatan," katanya dipetik sebagai berkata.

Apandi adalah bekas peguam negara. Beliau dilucutkan jawatannya selepas kekalahan kerajaan BN pada pilihan raya umum lalu. Umno kemudiannya melantiknya menyertai kepemimpinan parti itu.

Hishammuddin pada 13 Dis diberikan surat tunjuk sebab dan dikehendaki hadir di hadapan lembaga disiplin parti susulan mengadakan perjumpaan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali, 18 Nov lalu.

Turut menyertai pertemuan tersebut ialah 21 ahli parlimen Umno yang lain.

Berikutan perjumpaan berkenaan ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam, mendakwa Hishammuddin cuba menggerakkan sokongan anggota parlimen Umno kepada Azmin.

Lokman juga mendedahkan bahawa beliau telah membuat aduan terhadap Hishammuddin pada 30 Oktober lalu dan menggesa parti bertindak. Katanya, bekas naib presiden parti itu bertanggungjawab mengatur supaya ahli parlimen Umno melompat menyertai Bersatu.

Azmin dan Hishammuddin sebelum ini dikatakan terlibat dalam usaha menggerakkan sokongan anggota parlimen terhadap Mahathir dan menghalang Presiden PKR, Anwar Ibrahim daripada mengantikannya sebagai perdana menteri.

Ketika itu spekulasi bertiup kencang bahawa Hishammuddin dan Azmin bekerjasama untuk mengumpulkan bilangan ahli parlimen yang mencukupi untuk memastikan Dr Mahathir Mohamad dapat kekal sebagai perdana menteri dan menggagalkan usaha Presiden PKR Anwar Ibrahim daripada menggantikannya.

Ini walau bagaimanapun dinafikan oleh Hishammuddin.

Lihat Komen
ADS