Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

WAWANCARA | Gabungan Persatuan Pendamai Hat Yai tampil mempersoalkan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin, berhubung majlis memperingati Perjanjian Hat Yai 1989 di Kajang, Selangor, pada awal Disember.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini di Kampung Chulaborn Patana 12, Narathiwat, baru-baru ini, pengerusinya, Indrajaya Abdullah, melontarkan pertanyaan apakah perjanjian yang dimeterai 30 tahun lalu itu tidak perlu dikenang.


Baca: Kisah penghuni Kampung Chulaborn 12


"Kenapa perlu mengenang perjanjian? Saya tak faham, satu perjanjian yang ditandatangani oleh kerajaan Malaysia sendiri dan sekarang menterinya mengatakan apakah perlunya perjanjian perdamaian ini diperingati, apa maksudnya?

"Adakah dia (Muhyidin) rasa kesal atau macam mana? Atau dia rasa perjanjian ini tak perlu, atau dia menganggap peperangan ini masih patut dilangsungkan?

“Kalau tidak ada perdamaian sejak 1989, berapa ramai lagi nyawa yang dikorbankan, berapa banyak wang yang akan dicurahkan?

"Adakah dia tak setuju dengan perjanjian ini, kalau kita nak bercakap secara terang-terangan," katanya yang turut merujuk kepada siasatan pihak berkuasa Malaysia berhubung penganjuran majlis itu.

Wawancara dijalankan di rumah bekas pengerusi Parti Komunis Malaya (PKM) Abdullah CD, di kampung itu.

Indrajaya, juga menantu Abdullah, bercakap bagi pihak pemimpin kiri itu, yang kini menghadapi masalah pertuturan. 

Chulabhorn Patana 12 merupakan satu daripada dua "kampung perdamaian" yang disediakan oleh kerajaan Thailand untuk bekas-bekas pemimpin dan anggota PKM.

Sebelum ini, isu mengenai Parti Komunis Malaya (PKM) kembali timbul selepas laporan mengenai abu mendiang bekas setiausaha agung PKM, Chin Peng, dibawa pulang ke Malaysia.

Ia disusuli pula dengan majlis memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hat Yai di sebuah kolej swasta di Kajang (bawah) serta majlis sama, namun lebih meriah di Hat Yai, Thailand.

Muhyiddin pada 2 Disember lalu mempersoalkan mengapa perhimpunan seumpama itu berlaku dan menyatakan rasa bimbangnya.

Beliau juga pada 13 Disember berkata polis sedang meneliti secara mendalam mengapa majlis di Kajang itu dianjurkan dan sama ada ia berusaha mengetengahkan semula ideologi komunis.

‘Faedah buat kerajaan, rakyat’

Sementara itu, Indrajaya menegaskan, perjanjian damai itu adalah detik bersejarah dan semua pihak menikmati manfaat bersama.

"Kenapa tidak patut diperingati? Sepatutnya kami yang harus bertanya, kenapa beliau tidak mahu (perjanjian damai) diperingati.

"Ia satu perjanjian yang bersejarah, baik di Asia Tenggara mahupun di Asia. Saya rasa yang menikmati faedah daripada perjanjian ini kerajaan dan rakyat. Adakah ini tidak perlu diperingati?

"Itu saya (tak faham), sebenarnya kita perlu meminta penjelasan daripada merekalah.

“Tetapi sambutan di Thailand ini, kalian sudah hadir dan lihat macam mana kerajaan Thailand menyambut dan menghargai perjanjian ini, jeneral-jeneral kerajaan, saya rasa tak kurang daripada 10 orang dan senator (seramai) 11 orang yang hadir (dalam acara di Hat Yai)," katanya.

Acara di Hat Yai, Thailand

Ketika diwawancara portal ini, Abdullah CD, turut menemani Indrajaya.

Perjanjian damai Hat Yai dimaterai antara PKM dengan kerajaan Malaysia dan Thailand, yang membawa kepada pembubaran parti itu dan peletakan senjata gerila komunis.

Ia juga membenarkan bekas anggota PKM menetap di Malaysia dan diberi bantuan untuk memulakan hidup baru sama ada di Malaysia atau Thailand.

Bagaimanapun ramai daripada mereka memilih untuk tinggal di Thailand, termasuk pemimpin-pemimpin kanannya seperti Chin Peng, Abdulllah CD dan Rashid Maidin.

Lihat Komen
ADS