Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dong Zong terbit buku digital dalam BM jelaskan pendirian isu Jawi
Diterbitkan:  Dec 27, 2019 4:27 PM
Dikemaskini: 8:27 AM

Dong Zong menerbitkan buku digital 16 halaman berbahasa Melayu untuk menjelaskan secara terperinci pendiriannya berhubung pengajaran Jawi di sekolah vernakular.

Diterbitkan beberapa hari sebelum kongres anjurannya berkenaan perkara itu, buku itu bertajuk "Isu Tulisan Jawi: Mempertahankan Hak Lembaga Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan".

Antara perkara utama yang disentuhnya ialah sebab penentangan berterusan terhadap pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah vernakular, walaupun setelah kabinet memutuskan untuk meneruskannya.

"Bantahan ini diteruskan kerana jemaah menteri dan Kementerian Pendidikan masih mengabaikan hak dan kuasa Lembaga Pengelola Sekolah, dan tidak menjadikan Lembaga Pengelola Sekolah sebagai pihak yang membuat keputusan sama ada setuju atau tidak setuju dalam pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi," katanya dalam buku itu.

Katanya lagi, pihaknya dan Dong Jiao Zong telah berulang kali cuba berhubung dengan Kementerian Pendidikan berhubung isu penglibatan lembaga pengelola sekolah dalam proses membuat keputusan, tetapi gagal mendapat respons.

Buku itu turut menjelaskan Akta Pendidikan 1996 memperuntukkan peranan lembaga pengelola sekolah dalam menentukan dasar di sekolah vernakular, yang menurutnya kini dicabuli.

Antara isu lain yang dibangkitkan buku itu ialah sama ada tulisan Jawi diajar di sekolah vernakular sebelum ini, dan mengapa cadangan pengenalannya menjadi kontroversi.

Turut dibincangkan ialah perbezaan antara seni khat dan tulisan Jawi, dan sama ada bantahan yang dibangkitkan berkenaan pembelajaran bahasa Melayu atau tulisan Jawi.

Pengumuman pengenalan sukatan mata pelajaran itu - melibatkan murid tahun 4 sekolah vernakular bermula tahun depan - dibuat Ogos lalu.

Susulan bantahan, kerajaan berkata pengajarannya hanya akan dilaksanakan dengan persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan ibu bapa murid.

Selain menghantar memorandum, Dong Zong dan Dong Jiao Zong turut memulakan petisyen yang antara lain menyatakan pengenalan khat adalah satu bentuk Islamisasi.

Keputusan Dong Zong untuk meneruskan kongres berkenaan perkara itu Sabtu ini mengundang gesaan agar ia diharamkan, manakala Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa kumpulan itu membatalkannya dan menerima keputusan kabinet.

Lihat Komen
ADS