Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kit Siang: Pihak ancam perjumpaan Dong Zong juga perlu diambil tindakan
Diterbitkan:  Dec 28, 2019 11:54 AM
Dikemaskini: 3:54 AM

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata polis juga bertanggungjawab mengambil tindakan terhadap pihak yang membuat ancaman berhubung perjumpaan tertutup mengenai pelaksanaan tiga muka surat pelajaran Jawi dalam sukatan pelajaran Bahasa Malaysia, Darjah Empat.

Semalam, polis mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang kongres membantah tulisan Jawi yang dianjurkan oleh Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) atas sebab ia dikhuatiri mencetus rusuhan.

"Polis kini mempunyai tanggungjawab lebih besar untuk menunjukkan bahawa mereka bersikap adil dan mengambil tindakan terhadap pihak yang membuat ancaman berhubung pertemuan tertutup Dong Zong ini tanpa sebab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beberapa kumpulan NGO Melayu, termasuk Angkatan Gerak Minda Malaysia (Agra) yang diketuai oleh ahli Exco Belia Bersatu Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, sebelum ini merancang mengadakan himpunan protes terhadap kongres itu telah membatalkan hasrat tersebut.

"Polis tidak sepatutnya menghalang pertemuan tertutup Dong Zong berhubung isu Jawi di sekolah rendah Cina dan Tamil walaupun polis ditekan akibat tindakan tidak bertanggungjawab dan ancaman golongan ekstremis.

"Seperti yang telah saya katakan sebelum ini, tatkala Wawasan 2020 tidak akan tercapai tahun depan, yang akan tiba dalam masa empat hari lagi, marilah kita ramaikan lagi rakyat Malaysia yang tanpa mengira bangsa, agama, menjadi Bangsa Malaysia dan menyelesaikan krisis berhubung isu Jawi dengan cara yang aman dan konsensus," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy berkata tindakan polis Kajang untuk mendapatkan perintah mahkamah terhadap perhimpunan Dong Zong atas dasar ketegangan kaum adalah "dikesali".

"Ini adalah satu tindakan yang terlalu imginatif tanpa asas sebenar tetapi ia dicetuskan oleh kumpulan hak Melayu yang mengancam sekiranya kongres itu diteruskan, akan terdapat kemungkinan berlaku kekecohan di negara ini.

"Polis bukannya mengambil tindakan terhadap pelaku yang menyebarkan berita palsu dan rasa kebencian, (tetapi) mengambil jalan mudah dengan mendapatkan perintah mahkamah untuk membatalkan kongres," katanya dalam satu kenyataan.

Ramasamy berkata pengharaman itu berlaku di bawah kerajaan Pakatan Harapan yang telah menjanjikan keterbukaan dan kebebasan bersuara .

Beliau turut menyalahkan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad kerana memburukkan kongres tersebut.

"Kongres Dong Zong berhubung tulisan Jawi tidak akan menimbulkan banyak tentangan jika perdana menteri tidak mengeluarkan dakwaan negatif," katanya.

Lihat Komen
ADS