Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ERC akan cadang suruhanjaya khas untuk persempadanan semula

WAWANCARA | Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata pihaknya akan mencadangkan kepada kerajaan penubuhan suruhanjaya sempadan setiap lapan tahun.

Suruhanjaya itu hanya mempunyai satu tugas iaitu untuk persempadanan semula, katanya.

"Pada masa akan datang, ia aka dilakukan dengan cara berbeza kerana kami sedang mengesyorkan suruhanjaya yang terpisah (daripada badan sedia ada) untuk menentukan semula sempadan pilihan raya.

"Barangkali kita akan ada tiga suruhanjaya - untuk semenanjung, Sabah dan Sarawak.

"Kami sedang mencadangkannya dan harapnya kerajaan akan setuju," katanya ketika wawancara bersama Malaysiakini di pejabatnya di Putrajaya.

Katanya, penubuhan suruhanjaya bebas itu dapat mengurangkan beban Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan memadamkan tuduhan ia berpakat dengan parti pemerintah.

Rashid berkata lagi, suruhanjaya bebas itu akan bebas dan ditubuhkan untuk tujuan itu.

"Kita akan tubuhkannya sekali setiap lapan tahun. Selepas (persempadanan) selesai, suruhanjaya itu habis," katanya lagi.

Beliau mendedahkan cadangan itu ketika ditanya tentang manipulasi sempadan pilihan raya (gerrymandering) dan persempadanan tidak sekata (malapportionment). Pada mulanya beliau berkata orang ramai mempunyai tanggapan salah tentang perkara itu.

"Saya boleh bercakap selama tiga jam...membuktikan tiada gerrymandering, tiada malapportionment.

"Tetapi tentulah hakikatnya anda lihat bilangan pengundi yang berbeza diletakkan di kawasan berbeza.

"Pastinya ada sebab yang baik untuk itu tetapi kita tidak bertikai (argue) berkenaannya," katanya yang mempengerusikan SPR pada 2000 hingga 2008.

Kali terakhir persempadanan semula dibuat di Semenanjung Malaysia ialah dua bulan sebelum PRU ke-14.

Mengikut Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, ia hanya boleh dilakukan sekali dalam lapan tahun.

Ini bermakna persempadanan semula yang seterusnya hanya boleh dibuat pada 2026, selepas PRU ke-15 yang perlu dijalankan paling lewat pada 2023.

Lihat Komen
ADS