Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MIC bidas soalan peperiksaan universiti gelar Zakir Naik ikon Islam
Diterbitkan:  Dec 29, 2019 10:03 PM
Dikemaskini: 2:03 PM

Naib Presiden MIC C Sivarraajh mengkritik soalan peperiksaan universiti yang menggambarkan pendakwah kontroversial Zakir Naik sebagai "ikon dalam dunia Islam".

Sivarraajh berkata soalan itu terkandung dalam kertas Peperiksaan Kursus Hubungan Etnik (UUW 235) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

"Saya kurang faham kenapa soalan-soalan yang tidak menghormati sensitiviti kaum dikeluarkan sebagai soalan dalam peperiksaan subjek yang patut bantu meningkatkan pemahaman pelajar terhadap pelbagai kaum dan agama berbeza.

"Harap pentadbiran UniMAP akan segera tampil memberi pengesahan dan penjelasan terhadap perkara ini," katanya dalam perkongsian di Facebook.

Hantaran itu turut memaparkan soalan peperiksaan yang dimaksudkan, yang berbunyi: "Zakir Naik merupakan salah satu ikon dalam dunia Islam, beliau banyak berjasa dalam menyebarkan Islam yang sebenar dan mengikuti al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Beliau mampu berhujah dan manjawab setiap pertanyaan yang diajukan kepadanya dengan baik. Namun begitu di Malaysia, beliau tidak lagi dibenarkan untuk menyampaikan dakwah. Pada pendapat anda sebagai rakyat Malaysia, mengapakah hal ini boleh berlaku?"

Sementara pilihan jawapan yang disediakan ialah 1)Rakyat Malaysia yang malas mengambil tahu, 2)Rakyat Malaysia yang mudah terancam tanpa usul periksa, 3)Rakyat yang bersifat menuruti sahaja tanpa usul periksa, 4)Rakyat Malaysia yang bodoh tentang agama masing-masing.

Selepas ceramahnya di Kelantan pada Ogos lalu menjadi kontroversi, Zakir, yang berasal dari India, tidak dibenarkan menyampaikan ceramah.

Dalam ceramahnya di Kelantan, Zakir yang kini mendapat status penduduk tetap di negara ini, mendakwa bahawa kaum India di Malaysia lebih setia kepada kerajaan India berbanding Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Zakir juga menyifatkan kaum Cina di Malaysia sebagai tetamu.

Pendakwah itu kemudian menegaskan bahawa kenyataannya dipetik di luar konteks.

 

Lihat Komen
ADS