Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bagi menjayakan penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan bermula lusa ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerlukan kerjasama daripada semua pihak, terutama pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dr Noor Hisham Abdullah, ia bagi memastikan penguatkuasaan larangan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 itu dapat berjalan dengan lancar.

“Kerjasama dan sokongan daripada semua pihak terutama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah amat diperlukan bagi memastikan pelaksanaan penguatkuasaan PPKHT 2004 sepenuhnya bermula pada 1 Jan 2020 berjalan lancar demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia dibuat kira-kira seminggu selepas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, menyatakan kementerian terbabit akan menyediakan tempat khas merokok di seluruh negara.

"Perancangan ini akan dilaksana secara berperingkat pada tahun depan di PBT yang terpilih (terlebih dulu)," kata Zuraida.

Pewartaaan tempat makan di seluruh negara sebagai kawasan larangan merokok dikuatkuasakan sejak 1 Jan 2019, namun penguatkuasaan awalnya dilakukan secara mendidik selama 12 bulan.

Hal itu bermakna, mulai 1 Jan 2020, sesiapa yang didapati merokok di kawasan larangan termasuk di semua tempat makan akan mula dikenakan kompaun sebanyak RM250.

Biar mudah dilihat

Jika pesalah pertama membuat bayaran kompaun di mana-mana pejabat kesihatan daerah dalam tempoh sebulan selepas didenda, jumlah tersebut boleh dikurangkan kepada RM150.

Kata Noor Hisham, tiada pengurangan kompaun diberikan bagi kesalahan kedua, manakala kompaun lebih tinggi - sebanyak RM350 - akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya.

Tambah beliau, mengikut Peraturan 12 PPKHT 2004, pemilik premis pula hendaklah memastikan tempat makan mereka bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok, termasuklah tidak menyediakan bekas abu rokok, perkhidmatan menjual shisha serta kemudahan lain yang berkaitan merokok.

"Ini di samping tanda larangan merokok yang mencukupi serta jelas hendaklah dipamerkan di bahagian yang mudah dilihat di tempat makan mereka," katanya.

Dr Noor Hisham Abdullah

Noor Hisham juga menyaran mereka yang ingin berhenti merokok agar mendapatkan khidmat nasihat di semua kemudahan perundingan mQuit yang disediakan di semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan di seluruh negara.

Katanya, perkhidmatan itu juga boleh didapati di mana-mana fasiliti perkhidmatan berhenti merokok mQuit swasta yang telah diberikan akreditasi.

Mereka juga boleh mendapatkan maklumat serta berdaftar melalui laman sesawang http://jomquit.moh.gov.my atau menghubungi talian 03-8883 4400 untuk maklumat lanjut.

“Semoga langkah-langkah yang telah diambil dapat membantu melahirkan generasi yang lebih sihat dan bebas dari sebarang bentuk amalan merokok,” katanya. 

Lihat Komen
ADS