Kerajaan negeri Pulau Pinang akan memindahkan lapan daripada 19 kubur di negeri itu yang terbabit dengan projek jalan utama menghubungkan dua lebuh raya di negeri berkenaan.
Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini, berkata, 11 lagi kubur akan dikekalkan sepanjang pelaksanaan projek dan pelbagai kemudahan akan disediakan demi kemudahan waris.
In termasuk seperti membina ruang parkir, tangga dan lain-lain, untuk memudahkan waris mengadakan lawatan dan upacara sembahyang.
“Kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengadakan pertemuan kali pertama dengan United Hokkien Cemeteries Penang pada 10 Mei lalu bagi membincangkan perkara berhubung beberapa makam berusia lebih daripada 100 tahun yang bakal ‘terjejas’, kata kenyataan itu.
Projek berkenaan merupakan Pakej 2 daripada projek jajaran sepanjang 5.7 kilometer yang menghubungkan Lebuhraya Thean Teik di Bandar Baru Air Itam dan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu berdekatan Jabatan Laut Wilayah Utara, Gelugor.
“Malah, dua pertemuan lanjut turut diadakan pada 23 Julai dan 18 Oktober lalu,” katanya.
Semua kubur terlibat adalah daripada dua lot yang “bakal terjejas” akibat projek berkenaan, iaitu Lot 1558 (tujuh kubur) dan dan Lot 1559 (12 kubur).
Selain itu, memandangkan terdapat kubur yang tidak mempunyai ukiran nama jelas dan tidak berbatu nisan, kerajaan negeri akan menyiarkan notis pada waktu bersesuaian terutamanya pada sambutan perayaan ‘Cheng Beng’ bagi mengenal pasti waris-waris berkenaan.
Kata kenyataan itu lagi, pihak pengurusan jirat juga memohon kerjaan negeri membuat penyelsaian lanjut berhubung isu itu agar tidak menjejaskan kubur-kubur berkenaan sepanjang pelaksanaan projek.
“United Hokkien Cemeteries Penang telah menerbitkan nota ‘pemungutan tinggalan waris’ (abu/tulang) di laman-laman utama media berbahasa Cina pada 23 Disember lalu dan memohon waris-waris terlibat supaya menghubungi pihaknya bagi proses lanjut,” kata kenyataan itu.
Pada 11 Oktober, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow memaklumkan projek tiga jalan utama bagi pakej kedua yang menelan kos RM851 juta itu dijangka memakan masa tiga tahun.
Jajaran pakej itu merupakan salah satu komponen bawah projek jalan utama dan terowong bagi menambah baik penyuraian trafik di kawasan yang sering mengalaman kesesakan serius.
