Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
DAP, MCA perguna Dong Zong, ambil kesempatan isu Jawi - Pemuda PAS

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Khairul Nazir Helmi mendakwa, isu pengajaran Jawi di sekolah vernakular menjadi isu besar kerana ada pihak yang sengaja mengambil kesempatan.

Pihak seperti DAP dan MCA, katanya mengambil kesempatan atas kelemahan kerajaan dalam menangani isu tersebut.

Menurutnya, pihak tersebut menjadikan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia atau Dong Zong sebagai alat politik mereka, semata-mata bagi meraih undi masyarakat Cina.

Sedangkan katanya, sebelum isu itu timbul, masyarakat Cina dan India mempunyai hubungan cukup baik dengan orang Melayu.

"Oleh kerana kerajaan yang begitu lemah pada hari ini, mereka telah mengambil kesempatan, parti-parti yang berkepentingan, seperti DAP, malah tak lebih kalau saya kata juga MCA.

"Mereka menggunakan isu kecil ini untuk menarik perhatian golongan Cina untuk mendapatkan undi. Betapa tak maruahnya golongan seperti ini, demi kepentingan politik (sanggup berbuat demikian).

"Mereka tahu tak apa akibatnya? Kalau ini digunakan, ia akan menggugat perpaduan negara kita!" Tegasnya.

Dia berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 300 peserta Himpunan Bangkit Pertahan Jawi Haramkan Dong Zong, yang berlangsung di hadapan Sogo Kuala Lumpur.

Himpunan itu dianjurkan oleh Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dan turut dijayakan beberapa badan lain seperti Umno Siswa, Gerakan Pembela Ummah (Ummah) serta PAS, bagi mempertahankan tulisan Jawi dan memdesak Dong Zong diharamkan.

Ia rentetan terbaru polemik pengajaran Jawi di sekolah vernakular yang berlanjutan sejak beberapa bulan lalu, membabitkan kumpulan-kumpulan Cina yang menentang, dan kumpulan-kumpulan Melayu yang menyokong.

Himpunan itu diputuskan untuk diadakan sebagai respons terhadap kritikan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang pada minggu lalu menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Gamis ekoran kenyataannya terhadap Dong Zong.

Ia susulan Gamis memuat naik poster yang mengandungi tajuk utama: "Ayuh bersama Dong Zong, ulangi peristiwa 13 Mei, 1969", sebelum mengubahnya kepada "Ayuh bersama Dong Zong, jangan ulangi peristiwa 13 Mei 1969"selepas mendapat kritikan ramai.

Himpunan itu sepatutnya bermula dengan perarakan dari Masjid Jamek Kuala Lumpur ke Sogo.

Bagaimanapun, ketika peserta berhimpun di dataran hadapan Masjid Jamek dan bersedia untuk berarak, presiden Gamis, Saifullah Baiduri memaklumkan perarakan dibatalkan.

"Bagi menghormati nasihat pihak berkuasa, saya minta supaya kita bergerak ke Sogo dengan senyap tanpa mengangkat plakad dan bendera yang ada.

"Kita akan berjumpa di Sogo, dan akan mulakan himpunan di sana," katanya.

Peserta bergerak kira-kira jam 2.15 petang dan berkumpul di hadapan Sogo, bersebelahan kumpulan pemuzik jalanan yang sedang melakukan persembahan.

Meskipun peserta himpunan berkata akan bergerak secara senyap, namun penunjuk perasaan tetap melaungkan slogan seperti "Hidup Islam" dan "Tolak Dong Zong".

Himpunan di Sogo dibantu kira-kira 20 ahli Jabatan Amal PAS, dan dipantau lebih 20 pihak polis.

Turut kelihatan kain rentang diangkat oleh pehimpun seperti" Haramkan Dong Zong" dan "Rakyat bangkit pertahan Jawi."

Selain itu, Timbalan Pengerusi Ummah, Mohd Zai Mustafa, ketika memberi ucapan penuh bersemangat mendakwa Dong Zong membawa agenda komunis dalam membantah tulisan Jawi.

'Dong Zong kurang ajar'

Katanya, orang Melayu bukan membenci kaum Cina dan India, tetapi sikap "kurang ajar" Dong Zong yang tidak menghormati orang Melayu.

"Mereka tinggal di sini, mereka mendapat ihsan dari orang Melayu, dan orang Melayu akarnya adalah tulisan Jawi!

"[...] Alasan belajar Jawi akan (menyebabkan murid) masuk Islam adalah alasan yang tolol! Alasan yang bodoh!" Serunya ketika memberi ucapan.

Katanya, sekiranya Dong Zong dan "mereka yang cauvinis" terus membantah Jawi, Ummah akan menggerakkan orang Melayu di seluruh negara untuk mempertahankan tulisan itu.

"Kalau orang Melayu bangkit, di mana kedudukan orang bukan Melayu?! Adakah ini yang mereka mahu?" soalnya.

Ucapan lantang Mohd Zai itu sehingga menyebabkan kumpulan pemuzik jalanan (busker) yang pada awalnya tetap melakukan persembahan, akhirnya menghentikan persembahan mereka.

Mereka tidak meneruskan persembahan sehinggalah sesi himpunan tamat.

Dalam sidang media, Saifullah menjelaskan, sekiranya Dong Zong terus membangkitkan isu Jawi, Gamis akan melakukan himpunan gelombang kedua yang lebih besar, dan akan menghantar memorandum kepada Permaisuri Agong berhubung hal itu.

Bagaimanapun, tiada tarikh khusus diberikannya apabila disoal pemberita.

Dia turut tidak dapat memberikan jawapan jelas apabila diasak pemberita bilakah kebenaran diperoleh untuk berhimpun, sedangkan semalam Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohd Fahmi Visuvanthan (gambar, bawah) memaklumkan polis "belum diberitahu" tentang perhimpunan berkenaan.

Saifullah hanya menjawab pihaknya "sudah lama" berkomunikasi dengan polis dan tidak dapat memberikan penjelasan lanjut mengenai soalan tersebut.

Dong Zong sepatutnya menganjurkan satu persidangan membincangkan soal pengajaran Jawi di sekolah vernakular pada 28 Disember lalu, namun dibatalkan setelah polis mendapat perintah mahkamah.

Pada 28 Disember lalu, Dong Jiao Zong teguh dengan pendirian mereka bahawa kerajaan wajar membatalkan pengajaran tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia tahun empat di sekolah vernakular tahun depan.

Memetik sebuah tinjauan, Presiden Dong Zong Tan Tai Kim berkata mereka berjaya mengumpul tandatangan lebih 900 daripada 1,298 sekolah rendah Cina yang membantah pelajaran tulisan Jawi untuk murid-murid darjah empat.

Tan berkata kumpulan itu juga bersetuju bahawa lembaga sekolah sepatutnya diberi suara dalam memutuskan apa jua langkah yang diambil oleh Kementerian Pendidikan di sekolah.

Menurut garis panduan KPM, Jawi bokeh diajar di sekolah vernakular sekiranya dipersetujui oleh sekurang-kurangnya 50 peratus ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Bagaimanapun, Tan berkata kumpulan berkenaan tidak membantah sukatan pelajaran Bahasa Malaysia murid darjah lima yang mengandungi pengajaran khat Jawi serta kaligrafi Cina dan Tamil di sekolah vernakular.

Untuk rekod, Dong Zong, merupakan badan induk bagi pengurusan semua sekolah Cina di 13 buah negeri.

Jiao Zong pula ialah Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1951. Kedua-dua Dong Zong dan Jiao Zong merupakan pertubuhan pendidikan sekolah Cina yang paling tinggi dalam masyarakat itu. Secara bersama, gabungan dua pertubuhan ini dikenali sebagai Dong Jiao Zong.

Lihat Komen
ADS