Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ambil iktibar dari Boatou: Perlu kajian komprehensif kesan Lynas pada kesihatan

ULASAN | Pada 2018, ketika saya mula-mula mencadangkan loji 'cracking dan leaching' (Acid-cracking unit and Water Leach Plant - ACWLP) kilang Lynas dipindahkan ke Australia, menempatkan tapak pembuangan sisa radioaktif terakhirnya di lombong Gunung Weld (Ring, 1993), saya menjangkakan ia akan dilakukan dengan cepat supaya tiada lagi buangan radioaktif yang akan dihasilkan di lojinya di Gebeng itu.

Akhirnya, kerajaan telah mengenakan langkah ini sebagai salah satu syarat untuk menyambung syarat izin operasi Lynas pada tahun 2019. 

Baru-baru ini Lynas telah dianugerahi status "agensi utama" yang mana kerajaan negeri Australia Barat akan membantu mempercepat proses kelulusan untuk membina loji ACWLP di Kalgoorlie, Australia.

Ini berita baik untuk Malaysia kerana dapat membuang kira-kira 200,000 tpa (tan setiap tahun, pada ukuran berat air dalam bentuk wet basis) daripada sisa pemurnian air radioaktif (WLP) yang mengandungi jumlah bahan radioaktif yang ketara, dan 165,000 tpa wet basis sisa Flue Gas Desulfurisation (FGD) dan gas toksik sebanyak 99,344 Nm3/h (Normal Meter Cubed per Hour, unit digunakan untuk mengukur aliran gas).

Pemindahan ini akan menghalang pencemaran air bawah tanah dan alam sekeliling serta pencemaran toksik daripada pelepasan gas.

Walau bagaimanapun, timbunan sisa WLP radioaktif sedia ada dan yang bakal dikeluarkan dalam tempoh empat tahun akan datang mesti dirawat dan disimpan dengan betul seperti yang dinasihatkan oleh IAEA.

Pada masa itu, pengecualian cukai 12 tahun yang diberikan kepada Lynas akan tamat tempoh dan diharapkan Lynas tidak hanya akan berkemas dan berpindah ke negara lain, meninggalkan semua sisa buangan radioaktif dan toksiknya di sini.

Empat tahun masa yang terlalu lama untuk memindahkan unit loji ACWLP ke Australia.

Setakat ini, Lynas tidak menunjukkan rekod prestasi tanggungjawab sosial dan alam sekitar korporat yang baik selama lapan tahun lalu, dan syarikat itu tidak berbuat banyak untuk meyakinkan kami tentang komitmennya terhadap langkah terbaru itu.

Sisa neutralisasi bukan radioaktif (NUF) berjumlah lebih satu juta tan daripada pengeluaran tahunan kira-kira setengah juta tpa (wet), perlu dirawat dan disimpan dengan selamat sementara menunggu pelupusan akhir.

Keracunan endemik fluorida di Baotou

Lynas mungkin mahu memproses sisanya di Gebeng menjadi produk gipsum, seperti yang didakwa oleh saintisnya, serta mengeksportnya ke Australia untuk jualan di pasarannya yang besar.

Jadi tidak patut lah sisa ini disimpan sebagai bahan buangan berjadual di Malaysia. Pasti, produk sampingan yang didakwa saintis Lynas itu akan menjana pendapatan lumayan buat syarikat tersebut.

Kajian terhadap 720 kanak-kanak yang tinggal di sekitar kilang nadir bumi di Baotou, China telah menunjukkan kecacatan tumbesaran yang signifikan disebabkan oleh keracunan endemik fluorida, keupayaan intelektual mereka terjejas dengan ketara (Li et al., 2008).

Perlu dibuat suatu kajian komprehensif kesan operasi Lynas terhadap kesihatan rakyat dan alam sekitar seperti yang disyaratkan dalam prosedur pemantauan EIA.

Pada masa depan, semua kilang pemprosesan perlu membuang semua sisa radioaktif di sumbernya sebelum mengimportnya ke Malaysia. 

Kalau tidak ia akan membawa konflik besar yang memakan belanja antara syarikat korporat dan orang ramai.

Rujukan:

Li, Y. et al. (2008). Effects of Endemic Fluoride Poisoning on The Intellectual Development of Children in Baotou. Fluoride, 41(2)161–164, 2008.

Ring R. et al. (1993). Development of a Process for Recovery of Rare Earths from the Mt. Weld Orebody, XVIII International Mineral Processing Congress.


TAN KA KHENG [PhD (Cantab.), FIEM, Peng., FIChemE, CEng.] ialah bekas pengerusi Kumpulan Sokongan Papan dan Penasihat Jawatankuasa Antiradiasi Perak. Beliau pernah ditahan di bawah ISA ketika Operasi Lalang 1987 kerana berkempen untuk alam sekitar yang lebih bersih dan selamat di Papan dan Bukit Merah di Perak.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS