BERITA

Kelantan terima peruntukan RM400 juta dari pusat

Diterbitkan
Dikemaskini 2 Jan 2020, 4:56 pagi

Kelantan menerima bantuan 'one-off' berjumlah RM400 juta daripada Kerajaan Persekutuan pada 25 Dis lepas, kata Menteri Besarnya Datuk Ahmad Yakob.

Ahmad berkata sebelum itu, Kerajaan Negeri menerima surat khas daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 17 Dis lepas dan peruntukan itu akan digunakan untuk meningkatkan sosio-ekonomi, kesejahteraan rakyat dan mengukuhkan fiskal kewangan negeri.

"Kerajaan Negeri mengucapkan penghargaan yang tak terhingga kepada Tun Dr Mahathir atas bantuan yang diberikan dan ia pertama kali kita terima bantuan 'one-off' ini.

"Kita tak pernah minta bantuan 'one-off' ini dan hanya meminta untuk bayaran royalti (petroleum) sahaja sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2020 dan Pelancaran Pelan Induk Pembangunan Mampan Kelantan 2019-2023 di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darul Naim di Kota Bharu, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Setiausaha Kerajaan Kelantan Datuk Nazran Muhammad.

Dalam pada itu, Ahmad berkata penjawat awam Kelantan dan kakitangan lantikan politik negeri juga menerima tambahan bayaran bonus, masing-masing berjumlah RM500 dan RM250 pada minggu hadapan.

Beliau berkata bayaran bonus itu diberikan berikutan terdapat lebihan sebanyak RM45 juta dalam prestasi kewangan Kelantan pada 2019.

"Walaupun belanjawan negeri defisit (ketika dibentangkan) namun kita telah mendapat lebihan tiga tahun berturut-turut.

"Kita cuba sedaya upaya untuk mengurus kewangan negeri dengan sebaik mungkin dan mengadakan mesyuarat sebanyak tiga kali setahun untuk memantau pelaksanaan pergerakan kewangan," katanya.

- Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.