Malaysiakini
BERITA

Maszlee sah letak jawatan menteri pendidikan

Diterbitkan
Dikemaskini 2 Jan 2020, 10:15 pagi

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mengumumkan peletakan jawatannya dalam satu sidang media khas di Putrajaya petang ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang beliau sifatkan sebagai seorang ayahanda.

"Di atas nasihat YAB perdana menteri, dan di atas dasar ketaatan dan disiplin kepada kepimpinan parti dan kerajaan, maka dengan hati yang reda walaupun berat, saya, Maszlee Malik, dengan ini memulangkan sebagai menteri pendidikan Malaysia, berkuat kuasa 3 Januari 2020," katanya.

Dalam ucapannya, bekas pensyarah yang kebelakangan ini kerap menjadi sasaran kritikan itu juga menyenaraikan pencapaian Kementerian Pendidikan sepanjang pengawasan beliau.

Antaranya, hampir 90 peratus projek sekolah daif yang diusahakan siap lebih awal.

"Dasar inklusif yang kita perkenalkan untuk Murid Berkeperluan Khas (MBK), warga B40, anak-anak tiada dokumen serta polisi sifar cicir semuanya memberikan makna baharu kepada ratusan ribu anak murid di seluruh negara. Yang mana sebahagian mereka, berada dalam keadaan bahaya kerana tidak berada di sekolah.

"Inisiatif lain, yang sebahagian besar adalah untuk mengurangkan beban guru dan seterusnya memberi semula semangat baharu kepada warga sekolah, gerakan Malaysia Membaca serta bacaan semula Auku di Parlimen juga adalah bukti komitmen Pakatan Harapan melakukan reformasi pendidikan," kata Maszlee.

Dilihat timbulkan banyak krisis

Maszlee berkata ketika menegemudi KPM beliau juga mengalu-alukan public private pertnership kerana percaya reformasi sistem pendidikan tidak boleh dilakukan secara berseorangan.

"Sekolah milik komuniti, universiti milik masyarakat. Kejayaan sistem pendidikan adalah bermakna kejayaan masyarakat. Pendidikan adalah tanggungjawab semua.

"Namun sepertimana saya jelaskan pada awal, saya dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan terutama melibatkan isu Jawi, Internet sekolah dan isu sarapan percuma.

"Bagaimanapun saya percaya saya telah meletakkan asas dan hala tuju yang jelas untuk dituruti warga KPM.  Ia terhimpun dan tersemat kemas dalam tiga kalimah keramat, “Pendidikan untuk Semua”. 

"Saya percaya keputusan ini bukanlah pengakhiran, sebaliknya sebuah permulaan yang baharu.

"Percayalah, reformasi negara tidak akan pernah berjaya tanpa menjadikan kebajikan rakyat sebagai tumpuan paling utama," katanya.

Sidang media yang turut disertai kepimpinan tertinggi kementerian termasuk timbalannya Teo Nie Ching, mendapat perhatian pengamal media susulan khabar angin peletakan jawatannya beberapa jam sebelum itu.

Sejurus tamat sidang media itu, Maszlee yang kelihatan sebak meninggalkan perkarangan KPM dengan memandu sendiri kenderaan peribadinya, sebuah Perodua Myvi.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.