Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
MP tepis dakwaan rasis dalam isu pemindahan Uptown Danau Kota

Anggota Parlimen Wangsa Maju Tan Yee Kew menepis dakwaan bahawa beliau bersikap perkauman dalam isu pemindahan tapak perniagaan pasar larut malam (uptown) Danau Kota ke Bazaria Wangsa Maju.

Bercakap kepada pemberita di pusat khidmat masyarakat parlimen Wangsa Maju petang ini, Tan mempertimbangkan tindakan mahkamah terhadap Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah atas dakwaan berkenaan.

Jelasnya, hampir semua peniaga di tapak baru merupakan orang Melayu, dan hanya 20 gerai dimiliki peniaga Cina, sementara baki lima gerai lagi dimiliki peniaga India.

Namun, katanya kesemua mereka merupakan peniaga asal di uptown lama, yang dikenal pasti daripada bancian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) empat bulan lalu.

Daripada bancian sama, didapati 60 peratus peniaga di tapak lama sebenarnya tidak memiliki lesen, dan hanya menyewa tapak dari 'sindiket' dan kroni dengan bayaran sehingga RM1500 sebulan.

“Sudah 20 tahun mereka ditindas, dan diekploitasi oleh kroni dan sindiket di sana. Masa itu di mana Ikhlas? Mana Ridzuan? Mana dia? 

"Sekiranya mereka kata mereka mempertahankan hak peniaga kecil kaum Melayu, mengapa selama ini mereka tak pernah cuba dapatkan lesen untuk peniaga-peniaga kecil di uptown ini?”soalnya.

Tambah Tan, kesemua peniaga di tapak baru diberikan lesen sah dengan bayaran RM212.70 sebulan kepada DBKL, merangkumi bayaran kemudahan asas seperti tandas, surau, elektrik, penyelengaran, stor dan sebagainya.

Jelasnya lagi pemindahan ke tapak baru itu dilakukan untuk memberikan peniaga tapak lebih selamat tanpa diganggu 'sindiket', sementara menunggu tapak kekal siap dibina yang dianggarkan memakan masa “dua tahun atau lebih”.

Terdahulu, kira-kira 70 peniaga pasar larut malam (uptown) Danau Kota berkumpul bagi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pemindahan tapak perniagaan berkenaan.

Keadaan juga menjadi kecoh sekitar jam 3.30 petang apabila Tan sendiri turun membuat lawatan ke tapak baru tersebut, menyebabkan beliau dikerumuni mereka yang hadir.

Tan ketika bercakap kepada pemberita mendakwa semua yang hadir dalam bantahan itu merupakan “orang luar”, menyebabkan sebahagian peniaga di situ mengeluarkan perkataan kesat terhadap beliau.

Kenyataan Tan itu cuba diperbetulkan Pengerusi Pertubuhan Peniaga-Peniaga Bazaria Wangsa Maju, Md Ibrahim Md Daud (gambar), namun tidak berjaya meredakan keadaan.

Malah seorang AJK persatuan itu hampir dipukul beberapa peniaga terbabit tetapi sempat melarikan diri.

Mohd Ridzuan yang mengetuai perhimpunan itu mendakwa, hanya 500 daripada 800 peniaga dari tapak asal mendapat gerai di tapak baru manakala 300 lagi tercicir dan tiada tempat berniaga.

Sedangkan, dakwanya, 30 daripada 500 slot itu diberikan kepada peniaga baru berbangsa Cina yang bukan merupakan peniaga asal uptown tersebut.

Mereka juga mendakwa Tan menyalahgunakan kuasa dengan menubuhkan persatuan peniaga yang baru dan menghalang peniaga yang keciciran nama meneruskan perniagaan mereka di tapak baru.

Sehubungan itu Ridzuan berkata beliau telah membuat laporan polis terhadap Tan dan akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu depan.


Lihat Komen
ADS