Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Sebanyak 40 ekor lembu jantan bernilai RM240,000 - disyaki diseludup dari negara jiran - dirampas Batalion Ketujuh Pasukan Gerakan Am (PGA7) ketika rondaan berdekatan Kampung Jubakar di Tumpat, kira-kira jam 2 petang semalam.

Difahamkan, kesemua lembu itu dibawa menggunakan dua buah lori dan dalam perjalanan dari Kampung Jubakar ke Kampung Bendang Pak Yong di Tumpat sebelum ditahan anggota PGA7.

Pegawai Pemerintah PGA7, Supt Azhari Nusi, berkata dalam anggotanya terserempak dengan dua buah lori jenis Hicom Perkasa dengan setiap lori membawa 20 ekor lembu ketika membuat rondaan.

Beliau berkata selepas melakukan semakan didapati dokumen yang dibawa agak meragukan dan lembu itu disyaki diseludup masuk dari negara jiran melalui pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand.

"Berdasarkan maklumat, kesemua lembu diambil dari kandang di Bendang Pak Yong dan akan dihantar ke Johor dan Selangor untuk penyembelihan.

“Susulan itu, tiga lelaki tempatan iaitu pemandu dan kelindan berusia antara 26 hingga 35 tahun ditahan dan dibawa ke Kompeni Taktikal Kuala Jambu untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes akan diserahkan kepada Jabatan Veterinar untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 36 Akta Binatang 1953.

Azhari berkata, berdasarkan maklumat, lembu yang masuk ke situ biasanya dibawa secara berenang merentasi Sungai Golok dan ditempatkan sementara di mana-mana kandang bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Apabila jumlah yang dikehendaki sudah mencukupi kesemua lembu akan dibawa menggunakan lori ke mana-mana destinasi berdasarkan permintaan termasuk ke luar negeri Kelantan.

"Dalam kes kali ini kami merampas 40 lembu bernilai RM240,000 dan dua buah lori Hicom Perkasa bernilai RM160,000 menjadikan keseluruhan nilai rampasan ialah RM400,000," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS