Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dakwa pemecatan tidak adil, ibu tunggal buat laporan terhadap Grab

Seorang pemandu e-hailing hari ini tampil ke Jabatan Perhubungan Perusahaan (IRD) bagi memfailkan aduan terhadap syarikat perkhidmatan pengangkutan Grab yang didakwa menamatkan perkhidmatannya secara tidak adil.

Pengadu yang hanya mahu dinamakan sebagai Loh, berkata alasan dia dipecat adalah kerana perselisihan faham antaranya dengan seorang pelanggan di Lapangan Terbang Senai, Johor Bahru 4 November tahun lalu.

Loh yang ketika itu membawa kenderaan dengan enam tempat duduk berkata, dia mendapat sekumpulan enam orang sebagai pelanggan dengan barangan yang menurutnya terlalu banyak.

“Isunya saya berselisih faham dengan seorang pelanggan yang ketika itu membawa bagasi terlalu banyak dan mahu saya masukkan semua bagasi bersama keluarganya seramai enam orang," katanya.

Kata ibu tunggal dengan seorang anak itu lagi, dia akhirnya membawa tiga daripada mereka bersama semua barangan yang dibawa.

“Pelanggan tidak berpuas hati dan mereka memarahi saya sehingga saya menurunkan mereka di rumah. Saya juga mengambil gambar beg mereka untuk rujukan tetapi mereka tidak berpuas hati mengenainya,” katanya.

Peguamnya Ng Kiam Nam berkata, mereka memfailkan kes itu kerana Loh dipecat secara tidak adil oleh Grab pada 5 November 2019 - sehari selepas kejadian - dan surat tuntutan sudah dihantar kepada pihak syarikat pada 11 Disember tetapi tiada sebarang respons.

“Loh dipecat tanpa diberi sebab atau alasan yang munasabah malah tidak diberi peluang untuk membela diri.

“Kami terpaksa datang di sini (pejabat IRD) untuk perjelaskan perkara itu dan kami harap IRD akan bantu dalam selesaikan isu tersebut,” katanya yang juga merupakan jurucakap kepada Kempen Mempertahankan E-Hailing Malaysia.

Ng berkata lagi, kes itu difailkan menurut Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (akta 177) dan IRD akan memberi maklum balas dalam masa lima hari untuk rundingan antara Loh dan Grab.

Akta berkenaan memperuntukkan tempoh masa 60 hari untuk membuat representasi pembuangan pekerja di IRD bagi tujuan rundingan damai antara pekerja dan majikan.

Jika tiada sebarang penyelesaian dapat dicapai, representasi tersebut akan dihantar kepada pihak menteri untuk menggunakan budi bicaranya bagi merujuknya ke Mahkamah Perusahaan.

'Ada banyak faktor dibuang'

Dalam pada itu, Loh menzahirkan penghargaannya kepada IRD kerana menerima kes itu dan berharap nasibnya akan dapat dibela.

"Kita akan tunggu respons kedua pihak dari saya dan juga Grab dalam rundingan damai itu,” katanya lagi.

Sementara itu, jurucakap Grab berkata sebarang keputusan berkenaan pemecatan akan diberitahu kepada pemandu terlebih dahulu.

“Apa-apa tindakan yang diambil ke arah pemandu kami, akan sentiasa dijelaskan kepada mereka terdahulu,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Katanya lagi, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan pemandu syarikat itu ditamatkan perkhidmatan, antaranya apabila terdapat banyak aduan terhadapnya.

Lihat Komen
ADS