Jais: Pendakwah agama lain cuba pengaruhi pesakit Islam di hospital
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah mengesan kegiatan kumpulan pendakwah Kristian dan Buddha yang menyebarkan ajaran mereka, khususnya di kalangan pesakit beragama Islam, di beberapa buah hospital di Selangor.
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah mengesan kegiatan kumpulan pendakwah Kristian dan Buddha yang menyebarkan ajaran mereka, khususnya di kalangan pesakit beragama Islam, di beberapa buah hospital di Selangor.
Pegawai Perhubungan Awam Jais, Fakhrul Azman Yahya berkata, kumpulan terbabit dilaporkan berselindung di sebalik kerja amal seperti memberikan bantuan makanan dan khidmat nasihat kepada pesakit.
"Bagaimanapun, motif sebenar mereka ialah untuk menyebarkan ajaran mereka kepada pesakit khususnya yang beragama Islam," jelasnya.
Katanya, Jais memandang serius gejala tersebut tetapi tidak dapat mengambil tindakan undang-undang terhadap pendakwah terbabit kerana mereka melakukannya secara halus dan rahsia.
Bagi membendung kegiatan berkenaan, katanya, Jais telah melancarkan program "Rakan Masjid" untuk mengalak pendakwah Islam melakukan kerja amal di hospital.
"Setakat ini, apa yang dapat dilakukan oleh Jais ialah mendampingi individu yang cuba dipengaruhi kumpulan berkenaan bagi memurnikan semula akidah atau pegangan mereka,"jelasnya.
Fakrul Azman juga menyatakan, Jais telah mengenalpasti kewujudnya 24 kumpulan ajaran sesat di negeri itu, termasuk tiga daripadanya yang sedang bergerak aktif, iaitu kumpulan Ibrahim Bonjol, Islam Jemaah dan kumpulan Hassan Jonet.
Katanya, Jais sedang memantau kegiatan ketua dan pengikut kumpulan berkenaan sebelum bertindak terhadap mereka.
Menurutnya lagi, walaupun Jais sentiasa bertindak terhadap kumpulan ajaran sesat, namun ia tidak dapat dihapuskan terus kerana ketua dan pengikut mereka kembali bergerak aktif selepas tamat menjalani hukuman.
Operasi tangkapan
"Operasi menangkap ketua dan pengikut ajaran sesat didapati tidak berkesan kerana mereka kembali aktif selepas dibebaskan," ujar Fakrul Azman.
Menurutnya lagi, faktor kelemahan undang-undang Syariah Negeri Selangor merupakan antara faktor yang menyebabkan kumpulan ajaran sesat terus wujud di negeri ini.
Umpamanya, kata beliau, hukuman penjara atau denda yang dikenakan terhadap pesalah ajaran sesat sangat ringan dan ini tidak menakutkan mereka.
Mengenai keahlian kumpulan ajaran sesat berkenaan, beliau berkata, sebahagian besar mereka bukan berasal dari Selangor.
"Sebahagian besar mereka berasal dari negeri lain. Malah ada di antara mereka adalah warga India, Indonesia dan Singapura," jelas beliau.
Fakrul Azman berkata, beberapa kumpulan ajaran sesat itu juga didapati berasal dari negara luar, sebelum bertapak di di kawasan pedalaman Selangor.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.