Ibu bapa kepada remaja Ireland Nora Anne Quoirin, yang ditemui mati di Negeri Sembilan pada Ogos tahun lepas, menyaman resort tempat mereka menginap ketika anak mereka hilang.
Peguam Sankara Nair mewakili keluarga berkata, saman sivil difailkan di Mahkamah Sesyen Seremban. Pengurusan kes pertama akan didengar pada 21 Januari.
Malaysiakini difahami bahawa saman tersebut dibuat terhadap Dusun Resort atas kehilangan dan kematian Nora.
Nora dilaporkan hilang pada hari dia tiba di tempat penginapan tersebut.
Operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran dibuat dan mayatnya yang tidak berpakaian ditemui 10 hari kemudian, 2.5km dari resort berkenaan.
Kejadian itu mendapat perhatian media antarabangsa.
Pada masa itu, polis berkata Nora telah mati akibat pendarahan gastrousus, mungkin disebabkan oleh tekanan dan kelaparan.
Polis juga tidak menemui sebarang tanda penculikan atau rogol dan menolak unsur khianat.
Bagaimanapun, ibu bapa Nora, Meabh dan Sebastian Quoirin percaya banyak soalan masih belum dijawab mengenai kes berkenaan.
"Untuk fikir bahawa Nora bangun pada tengah malam, tidak memakai baju, tidak berselipar, keluar dari banglo ke hutan, dengan kawasan itu sangat curam dan berbahaya, dalam keadaan kegelapan, langsung tidak masuk akal.
"Kami fikir ia tidak masuk akal untuk memikirkan kemungkinan itu," kata Sebastian kepada media Ireland RTE.