Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jho Low dakwa ada tawaran suaka di negara Eropah
Diterbitkan:  Jan 6, 2020 12:44 PM
Dikemaskini: 4:44 AM

Ahli perniagaan yang menjadi buruan, Low Taek Jho memberi bayangan bahawa dia ditawarkan suaka “atas dasar penganiyaaan” di sebuah negara di Eropah.

Hal itu dinyatakan Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low, dalam satu temu bual bersama Straits Times (ST) Singapura, berkata bahawa negara berkenaan mematuhi Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi Manusia (ECHR).

Dia bagaimanapun tidak menamakan negara tersebut.

Low juga enggan mendedahkan lokasinya kepada portal dalam talian itu kerana “kebimbangan serius terhadap keselamatan peribadinya”.

“Bagaimanapun, saya boleh sahkan yang saya ditawarkan suaka pada Ogos 2019 oleh sebuah negara yang bertindak atas prinsip Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UHCR) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat, Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan ECHR, berdasarkan penganiayaan politik yang dikenakan terhadap saya dan penafian terus-menerus terhadap hak asasi manusia saya.

“Semua negara yang tertakluk oleh piagam-piagam ini sepatutnya bertindak mematuhinya” katanya dalam temu bual yang disiarkan hari ini.

ECHR adalah piagam hak asasi manusia antarabangsa yang ditandatangani oleh 47 negara, sebagai sebahagian daripada Majlis Eropah (CoE).

Cyprus adalah antara negara anggotanya. Pada November lalu, dilaporkan bahawa Low memperoleh pasport negara Cyprus.

Juga dilaporkan sebelum ini, bahawa Low yang didakwa sebagai dalang dalam skandal 1MDB yang melibatkan dana berbilion ringgit, turut memperoleh pasport negara-negara Carribbean seperti Saint Kitts dan Nevis, namun ia kemudiannya dibatalkan.

Pihak polis Malaysia mendakwa mereka mengetahui lokasi Low namun enggan mendedahkannya. Ketua Polis Negara (IGP) Abdul Hamid Bador, bagaimanapun, menyanggah spekulasi yang menyatakan Low berada di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Sebelum itu, Low dipercayai berada di China.

Abdul Hamid, yang sebelum ini berjanji membawa Low balik ke Malaysia sebelum hujung tahun lalu untuk berdepan tuduhan berkaitan 1MDB, mendakwa negara-negara terbabit enggan bekerjasama.

Malah meskipun polis mempunyai bukti-bukti, negara-negera tersebut juga enggan mengesahkan ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu berada di negara mereka.

Di sebalik menjadi buruan dan dalam pelarian, Low sentiasa mengeluarkan kenyataan menerusi peguamnya, dan kekal menyatakan bahawa dia tidak bersalah dalam skandal 1MDB.

Pihak berkuasa Malaysia pula tegas menyatakan bahawa Low bersama bekas perdana menteri Najib Razak, menyeleweng jutaan ringgit menerusi dana asing dan bekas anak syarikatnya SRC International.

Najib sedang menghadapi perbicaraan untuk beberapa tuduhan berkaitan 1MDB. Pihak pembelaan Najib menuduh Low yang mendalangi skandal itu manakala Najib dikatakan terpedaya dengan penipuan Low.

Dalam temu bual ST itu juga, Loh mendakwa tuduhan yang dikenakan terhadapnya adalah bermotifkan politif.

“Serangan berterusan ke atas saya adalah bermotifkan politik dan mengabaikan hak asasi manusia dan proses kehakiman yang adil.

“Juga, sukar bagi saya untuk mempercayai kerajaan Malaysia serius mahu ‘menjamin’ keselamatan saya, sedangkan pada masa sama pegawai kanannya dan ahli-ahli politik secara terbuka berspekulasi mahu menggunakan kaedah penculikan dan operasi haram untuk membawa saya balik ke Malaysia,” katanya.

Dia turut mendakwa tindakan-tindakan tersebut bertentangan dengan hak asasi manusia antarabangsa dan juga undang-undang negara asing.

Bagaimanapun, Abdul Hamid sebelum ini pernah menyatakan bahawa Malaysia akan mematuhi undang-undang dan tidak akan menggunakan taktik ala “James Bond” untuk menyeludup Low keluar dari mana-mana negara.

“Kami boleh menggunakan Amla (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001) dan meminta bantuan,” kata IGP pada Mei tahun lalu.

“Tetapi buat gaya James Bond dengan melanggar undang-undang sesebuah negara itu tidak baik dan sesuai dengan kaedah pendekatan kita (PDRM) dan kita tidak akan berbuat demikian.

“Kita akan mengikut saluran undang undang yang betul dan adil serta telus,” katanya.

Low menuduh kerajaan Malaysia menggunakan kesnya untuk mengalihkan perhatian masyarakat antarabangsa daripada masalah dalaman yang dihadapi negara.

“Malaysia patut menghormati obligasi piagam antarabangsa, berbanding tidak mengendahkan keluhuran undang-undang (rule of law) dan menggunakan strategi alih perhatian di media, daripada masalah-masalah sebenar yang dihadapi di Malaysia, termasuklah perkauman, penghormatan antarabangsa yang semakin terhakis, dan lain-lain,” kata Low lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS