Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis jumpa penghantar barang, bincang usaha banteras dadah

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman akan mengadakan perjumpaan dengan penyedia perkhidmatan menghantar barang (courier service) bagi membendung gejala pengedaran dadah melalui perkhidmatan tersebut.

Pengarahnya, Mohd Khalil Kader Mohd berkata, terdapat pengedar dadah dikesan menggunakan perkhidmatan itu untuk melakukan kegiatan mereka.

“Saya mahu tahu apa yang mereka boleh lakukan untuk menentang pengedaran dadah, mungkin mereka ada SOP (prosedur operasi standard) sendiri.

“Bukan itu saja, saya juga perlu bina hubungan baik antara PDRM (dan mereka), dan saya perlu kenal mereka dan (pastikan) mereka ada arah untuk dirujuk (berhubung pengedaran dadah),” katanya kepada pemberita selepas sesi bersama media PDRM di Dewan Theatrette, Bukit Aman, hari ini.

Katanya, perjumpaan yang akan berlangsung pada Januari ini melibatkan 116 syarikat penghantar barang yang ada di negara ini.

Sebelum itu, Khalil ketika membentangkan pencapaian jabatannya sepanjang tahun 2019, memaklumkan peranan utama jabatannya untuk tahun 2020 adalah bagi melipatgandakan rampasan dadah.

Tumpuan kedua akan diberikan untuk meningkatkan tangkapan, terutama ke atas “tokan” atau pengedar dadah.

Mengulas lanjut mengenai hal tersebut, Khalil memaklumkan, PDRM berjaya merampas 20 tan dadah bernilai RM 2.7 bilion sepanjang 2019, berbanding hanya 8.9 tan dadah bernilai RM394 juta sepanjang 2018, peningkatan sebanyak 708 peratus dari segi nilai rampasan.

Selain itu, tangkapan melibatkan dadah juga meningkat pada tahun 2019 iaitu sebanyak 1,808 tangkapan, berbanding hanya 1,186 pada 2018, selain berjaya menumpaskan 9 ketua sindiket pada tahun 2019, sama dengan bilangan yang direkodkan untuk tahun 2018.

Untuk tahun 2019 juga, katanya, sebanyak 137,961 kertas siasatan telah dibuka berhubung kes dadah, dan 70 peratus atau 97,111 daripadanya berjaya dihadapkan ke mahkamah.

Khalil turut mendedahkan enam jenis dadah yang paling popular, iaitu syabu, ekstasi, heroin, ganja, yaba (WY), dan erimin 5.

Manakala lokasi yang menjadi pilihan sindiket yang menggunakan keldai dadah sepanjang tahun 2019 pula melibatkan 12 negara, iaitu Indonesia, Korea, Jepun, Hong Kong, Australia, Singapura, Taiwan, Peru, Iran, Laos, Thailand dan Kemboja. 

Lihat Komen
ADS