Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan ulangi bekalan ubat selsema mencukupi
Diterbitkan:  Jan 7, 2020 12:07 PM
Dikemaskini: 4:12 AM

Tidak ada kekurangan bekalan ubat Oseltamivir yang digunakan untuk merawat jangkitan Influenza, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Malah, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah mempercepatkan proses permohonan permit untuk pusat penjagaan kesihatan swasta mengimport ubatan tersebut bagi menampung peningkatan permohonan sejak bulan lalu.

Menegaskan bahawa tidak ada kekurangan Oseltamivir di kementerian, yang juga dikenali sebagai Tamiflu, Dr Noor Hisham berkata tidak ada permohonan untuk permit dari pusat kesihatan swasta dari Januari hingga November, tahun lepas.

Pusat kesihatan swasta dikehendaki membuat permohonan untuk mengimport Tamiflu.

"Mereka (pihak swasta) tidak mempunyai isu mendapatkan Tamiflu daripada pembekal dari luar Malaysia.

"Namun, pada Disember 2019, permohonannya meningkat. Apabila penggunaan antiviral meningkat, stok syarikat farmaseutikal yang ditugaskan membekal Tamiflu hanya mencukupi untuk penggunaan kemudahan pusat kesihatan kerajaan.

"Untuk mengatasi masalah ini, KKM telah mempercepatkan proses permohonan, di mana sekarang kelulusan permit rata-rata kurang daripada lima hari," kata Noor Hisham dalam posting Facebook pagi ini.

Kebanyakan pemohon yang memohon permit sebelum akhir tahun 2019 telah mendapat bekalan mereka.

Oleh itu, beliau menggesa mereka yang berisiko tinggi untuk mendapatkan vaksinasi. Mereka yang berisiko tinggi adalah termasuk kanak-kanak di bawah usia lima tahun, warga emas di atas 65, wanita hamil dan mereka yang menghidapi penyakit perubatan.

"Buat masa ini, program perkhidmatan farmasi KKM belum menerima sebarang notis pemberitahuan dari syarikat farmaseutikal mengenai kekurangan stok antivirus."

Kenyataan Noor Hisham itu dikelaurkan susulan laporan Malaysiakini semalam bahawa peningakatan kes penyakit Influenza di Malaysia - lazimnya disebut sebagai selsema - sehingga kini merekodkan statistik dua kali ganda pada 2019 berbanding tahun sebelumnya.

Laporan tersebut turut memetik data sebuah hospital swasta dan juga Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), yang melaporkan kadar influenza meningkat sebanyak 21 peratus di Malaysia pada tahun 2019 selain menunjukkan kekurangan Oseltamivir di hospital swasta.

KKM kemudian memberi jaminan bahawa bekalan ubat-ubatan untuk merawat jangkitan influenza adalah mencukupi buat hospital kerajaan dan klinik.

Jangkitan virus, influenza mungkin kelihatan seperti selesema biasa tetapi lebih parah, memberi kesan kepada sistem pernafasan dan boleh menyebabkan kematian, terutama di kalangan kanak-kanak yang mempunyai sistem imunisasi yang lemah.

Vaksinasi untuk influenza bukanlah sebahagian daripada Program Imunisasi Kebangsaan, yang meliputi vaksinasi percuma terhadap 12 penyakit lain. Walaubagaimanapun, Kementerian Kesihatan menggalakkan imunisasi itu sebagai vaksinasi tambahan.

Walaupun kes Malaysia tidak dipercayai berkaitan dengan kes-kes pneumonia misteri di Wuhan, China, kementerian sedang menyiasat perkara itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS