Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Persidangan sarjana Islam dicadang Anwar bukan nak lawan Dr M

Penganjur Persidangan Unity in Diversity 2020 (UID 2020) yang akan berlangsung esok, menafikan laporan satu portal berita bahawa ia merupakan respons kepada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 (Sidang Kemuncak KL) bulan lalu.

Ahli lembaga pengarah Muslim Professionals Forum (MPF), Dr Musa Nordin berkata, penganjuran persidangan itu yang berlaku tidak sampai sebulan selepas Sidang Kemuncak KL hanya satu kebetulan, sedangkan ia telah dicadangkan jauh lebih awal.

“Persidangan UID mula-mula dicadangan semasa pertemuan Anwar Ibrahim dengan Syeikh Omar Sulaiman (salah seorang pengucap) ketika kedua-duanya mengerjakan Haji pada Julai tahun lepas.

“Tapi oleh kerana jadual Syeikh Omar yang padat, persidangan itu tak dapat dijalankan lebih awal.

“Omar mencadangkan tarikh sekitar minggu pertama Januari, iaitu ketika dia berada di Malaysia untuk program Al-Maghib yang disertainya, yang secara kebetulannya satu bulan selepas (penganjuran) Sidang Kemuncak KL,” katanya kepada Malaysiakini.

MFP merupakan salah satu penganjur persidangan itu, bersama The International Institute of Islamic Thought (IIIT) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Dua hari lepas, portal Free Malaysia Today (FMT) yang memetik sumber, mendakwa penganjuran persidangan yang menyenaraikan Anwar Ibrahim sebagai pengucaptama itu merupakan respons terhadap Sidang Kemuncak KL yang dihadiri Mahathir Mohamad.

Menurut laporan itu, Anwar menghimpun sarjana Islam yang sealiran dengan fahaman di Arab Saudi, yang pada bulan lepas memboikot Sidang Kemuncak KL kerana tidak senang dengan kehadiran tiga seteru utamanya- Turki, Qatar, dan Iran.

Menafikan lebih lanjut mengenai dakwaan itu, Dr Musa berkata, cadangan penganjuran Sidang Kemuncak KL hanya digagas September tahun lalu apabila Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad bertemu dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Pakistan Imran Khan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Sesi Ke-74.

Ia disusuli dengan prapelancaran Sidang Kemuncak KL oleh Mahathir pada 21 November 2019.

“Setidak-tidaknya, FMT boleh hubungi penganjur untuk mendapatkan maklumat yang betul sebelum menyiarkan artikel itu,” katanya lagi.

Dalam laporan FMT juga mendakwa ketiga-tiga penceramah luar negara yang tersenarai sebagai “orang-orang yang Anwar selesa”, dan dikatakan pernah terlibat dalam kitaran ceramah di Arab Saudi.

Sumber itu turut mendakwa salah satu penganjur, IIIT yang berpangkalan di Amerika Syarikat, didanai Arab Saudi dan sering dikaitkan dengan sarjana yang menyokong gerakan Ikhwanul Muslimin yang dilihat golongan “wahabi yang progresif”.

Kata sumber itu juga, Ikhwan dan Saudi lebih bertolak ansur sesama mereka secara teologi, dan sama-sama menentang fahaman Syiah di Iran.

Berdasarkan poster UID, persidangan itu menyenaraikan empat penceramah termasuk Nurul Izzah Anwar, selain tiga penceramah luar, iaitu Omar, Nuruddin Lemu, dan Yasir Qadhi. Anwar pula dinamakan sebagai pengucaptama di dalam jadual program.

Mengulas mengenai hal itu, kata Dr Musa, pemilihan penceramah dibuat berdasarkan kriteria bahawa mereka merupakan aktivis sosial, pakar dalam dakwah, mengamalkan pendekatan pertengahan (ummatan wasata), dan rapat dengan kegiatan perhubungan antara agama.

Dalam kenyataan terdahulu bersama Setiausaha MPF, Azra Banu, Dr Musa menyifatkan Yasir, Omar dan Nuruddin pakar dalam menyampaikan kerumitan dan hikmah al-Quran selain “tradisi tulen” peninggalan Nabi Muhammad SAW, serta mampu merungkai masalah yang membelenggu umat Islam dengan cadangan penyelesaian yang berasaskan tauhid dan realpolitik.

“Matanglah. Banyak lagi perkataan dalam perbendaharaan kata Arab, berbanding Salafi, Wahhabi, Ikhwan, Sunni dan Syiah,” katanya lagi.

Sidang Kemuncak KL 2019 berlangsung dari 18 hingga 21 Disember lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, bagi membincangkan hala tuju dunia Islam bertemakan 'Peranan Pembangunan dalam Akses Kedaulatan Negara'.

Ia memberi tumpuan kepada tujuh teras utama iaitu pembangunan dan kedaulatan negara, integriti dan tadbir urus yang baik, kebudayaan dan identiti, keadilan dan kebebasan, keamanan, keselamatan dan pertahanan, perdagangan dan pelaburan serta teknologi dan tadbir urus Internet.

Sidang itu menyaksikan 18 pertukaran instrumen berjaya diadakan, meliputi pelbagai bidang seperti teknologi tinggi, kerjasama media, keselamatan makanan, kepimpinan belia dan program pertukaran.

Lihat Komen
ADS