Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hari 68: Najib enggan buat spekulasi isu Jho Low masukkan wang berjuta

LANGSUNG | Hari ini masuk hari ketujuh pihak pendakwaan membuat pemeriksaan balas terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes SRC International.

Timbalan pendakwa raya (DPP) V Sithambaram kembali menyoal Najib Razak.

Untuk rekod selain pernah berkhidmat sebagai perdana menteri, Najib juga adalah bekas menteri kewangan dan penasihat emeritus syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC).

Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Najib diwakili sepasukan peguam diketuai Muhammad Shafee Abdullah.

LANGSUNG 

4.52 petang: Mohd Nazlan menangguhkan prosiding untuk hari ini dan akan disambung semula jam 11 pagi esok.

Beliau membuat ketetapan agar ia dimulakan lebih lewat dari biasa selepas pasukan pembelaan Najib memberitahu mereka perlu menghadiri dua perbicaraan berasingan.

Kes pertama ialah sebutan bagi tuduhan meminda laporan akhir audit 1MDB di depan hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Ked kedua pula diadakan di depan hakim Collin Lawrence Sequerah berhubung permohonan Lokman Noor Adam untuk mengetepikan kebenaran diberi kepada Jabatan Peguam Negara memulakan prosiding komital terhadap ahli Majlis Tertinggi Umno berkenaan.

Ia berkait dengan dakwaan Lokman bahawa seorang saksi penting dalam perbicaraan 1MDB Najib diancam.


4.46 petang: Tertuduh dalam kes ini kelihatan menyalahkan Nik Faisal Ariff Kamil, Jho Low dan Allahyarham Azlin Alias sebagai berbohong mengenai kedudukan akaunnya.

Untuk rekod Nik Faisal bukan saja berjawatan ketua pegawai eksekutif SRC tetapi orang yang diberi kuasa untuk menguruskan akaun Najib di Ambank.

Jho Low pula ialah orang penting dalam skandal 1MDB dan kini masih diburu polis pelbagai negara.

Azlin pula bekas setiausaha sulit Najib dan meninggal dunia pada awal April 2015.

Dalam perbicaraan petang ini Sithambaram bertanya kepada Najib sama ada Nik Faisal, Jho Low dan Azlin pernah berbohong agar beliau boleh terus membelanjakan wang yang ada dalam akaun persendiriannya.

Terdahulu Najib mendakwa beliau dihindarkan daripada mendapat penyata akaun terbabit.

Sithambaram: Bukti (keterangan) kamu ialah Nik Faisal dan Jho Low - dan saya syak, Azlin - berbohong kepada kamu agar kamu boleh membelanjakan wang dalam akuan (dan saya fikir) ia tidak benar, dan tak masuk akal.

Najib: Mereka berbohong kepada saya.


4.40 petang: Najib memberitahu mahkamah, beliau tidak tahu mengapa Jho Low bertindak memasukkan berjuta-juta ringgit ke akaun persendiriannya.

Ditanya Sithambaram sebab Jho Low bertindak demikian, bekas presiden Umno itu juga enggan menjawab soalan dikemukakan atas hujah enggan membuat spekulasi.

Ketika itu Najib ditanya mengenai dana berjumlah RM90 juta yang dimasukkan ahli perniagaan dikehendaki polis itu ke akaun persendiriannya pada 2014 dan 2015.

Sithambaram: Dan kamu juga tahu Jho Low berkomunikasi dengan Nik Faisal berhubung akaun kamu.

Najib: Ya.

Sithambaram: Adakah kamu boleh jelaskan mengapa Jho Low mesti membayar kira-kira RM80 juta hingga RM90 juta ke akaun-akaun kamu?

Najib: Tak, saya tak mahu buat spekulasi.

Sithambaram: Saya cadangkan kepada kamu bahawa tak ada apa yang perlu dibuat spekulasi. Sebab ia dimasukkan ke akaun kamu dengan pengetahuan kamu.

Najib: Ia dibuat tanpa pengetahuan saya. Saya tak setuju.

Sithambaram: Kamu setuju bahawa kamu membelanjakan sejumlah wang dimasukkan Jho Low?

Najib: Kalau akaun menunjukkan begitu, maka saya memang membelanjakan wang berkenaan.


4.17: Perbicaraan bersambung semula.


4.00 petang - Prosiding berehat.


3.49 petang - Najib Razak memberi keterangan bahawa walaupun tiada bukti yang dikemukakan di mahkamah, beliau pecaya bahawa Jho Low merahsiakan penyata bank dan kad kreditnya.

Sithambaram: Tiada bukti (di mahkamah).

Najib: Ia bukan fantasi, ia keputusan Jho Low.

Najib juga menambah bahawa Jho Low tidak mahu beliau tahu bagaimana ahli perniagaan itu menguruskan akaun bank.


3.15 petang - Najib memberi keterangan bahawa ada "kemungkinan" Jho Low memasukkan wang ke akaunnya.

Tertuduh berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh DPP V Sithambaram.

Sithambaram: Adakah dia (Jho Low) memasukkan dana (ke dalam akaun Najib)?

Najib: Mungkin, saya tidak tahu.

Sithambaram sebelum ini menyoal Najib mengenai kenyataan kesaksiannya, yang antara lain Najib berkata bekas ketua setiausaha sulitnya, Azlin Alias atau Ketua Pegawai Eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil mungkin telah berkomunikasi dengan Jho Low.


2.43 petang - Prosiding disambung semula.


12.55 tengah hari - Najib menafikan dana sendiri digunakan untuk mengimbangi akaun banknya yang dibuat pengeluaran berlebihan, bagi membolehkannya mengeluarkan cek.

Tertuduh menjawab pertanyaan dari DPP V Sithambaram berkaitan dengan surat daripada individu yang diberi kuasa oleh Najib untuk menguruskan akaunnya, Nik Faisal Ariff Kamil.

Nik Faisal juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif SRC International.

Surat kepada AmBank dikatakan menyatakan bahawa wang Najib dari akaun peribadinya akan digunakan untuk mengimbangi akaun 906.

"Tidak, tidak mungkin. Tidak," jawab Najib.

Prosiding kemudian ditangguhkan untuk makan tengah hari, dan akan diteruskan pada pukul 2.30 petang petang ini.


12.18 tengah hari - Najib menafikan mengalihkan berjuta-juta ringgit ke dalam akaun peribadinya apabila kehabisan "wang Arab" yang beliau terima sebelum ini.

Sithambaram: Anda mengalihkan wang ke dalam akaun anda apabila "wang Arab" habis?

Najib: Tidak bersetuju.

Perbicaraan semasa mendakwa tertuduh menerima RM42 juta dari SRC International ke akaun peribadinya dari akhir 2014 hingga awal tahun 2015.

Najib mendakwa bahawa beliau menerima sumbangan sebelum itu dari keluarga diraja Saudi berjumlah RM2.6 bilion.


12.05 tengah hari - Najib tidak bersetuju dengan cadangan oleh pihak pendakwaan bahawa beliau hanya mengalihkan kesalahan kepada Jho Low untuk mengelakkan tindakan undang-undang.

Najib berkata demikian apabila ditanya oleh DPP V Sithambaram mengenai akaun banknya, yang dikatakan Najib telah dimanipulasi oleh Jho Low.

Sithambaram: Anda hanya menyalahkan Jho Low sebanyak mungkin untuk melepaskan diri dari pertuduhan ini.

Najib: tidak. saya tidak bersetuju


12.00 tengah hari - Prosiding disambung semula.


11.30 pagi - Prosiding berehat sebentar.


11.05 pagi - Najib berkata beliau mengandaikan berbilion ringgit yang masuk ke dalam akaunnya adalah dari Raja Arab Saudi, Raja Abdullah.

Dilaporkan sebelum ini bahawa Najib didakwa menerima RM2.6 bilion dalam akaun banknya pada tahun 2013.

Sithambaram: Dari 2011 hingga 2014, Datuk Seri (Najib) menerima sumbangan besar yang anda percaya dari Raja Abdullah?

Najib: Ya.

Sithambaram: Anda tidak boleh mengesahkan bahawa sumbangan itu adalah dari Raja Abdullah?

Najib: Saya terima dengan tanggapan baik.

Sithambaram: Anda tidak boleh mengesahkan ia dari Raja Abdullah?

Najib: Saya menganggapnya adalah dari Raja Abdullah.


11.00 pagi - Najib dengan suara lantang tidak bersetuju dengan tuduhan bahawa SRC International adalah "syarikat perdana menteri".

Sithambaram sebelum itu menyoal Najib mengenai keterangan sebelumnya oleh pegawai Kementerian Kewangan, Afidah Azwa Abdul Aziz bahawa dia diberitahu oleh setiausaha kementerian Maliami Hamad bahawa SRC International adalah syarikat perdana menteri.

Terdahulu, DPP juga menyoal Najib sama ada SRC International dan anak syarikatnya tidak mengambil langkah untuk mendapatkan semula RM42 juta yang dipindahkan dari akaun SRC kepada Najib, di mana tertuduh bersetuju.

Sithambaram: Itu kerana Afidah dan Maliami mengatakan bahawa SRC adalah syarikat perdana menteri?

Najib: Tidak bersetuju!


10.45 pagi - Mahkamah mendengar dari Najib bahawa beliau tidak pernah mempersoalkan bekas ketua setiausaha sulitnya, Azlin Alias mengenai sumber dana dalam akaun banknya.

Najib berkata demikian ketika ditanyakan oleh DPP V Sithambaram mengenai berjuta-juta ringgit yang dimasukkan ke dalam akaunnya.

Ditanya oleh peguam lagi mengapa dia tidak bertanya mengenai sumber wang dalam akaunnya, Najib berkata beliau percaya Azlin.

"Saya hanya mengandaikan ia berasal dari sumber yang sah," tambahnya.


10.36 pagi - Najib memberi keterangan bahawa beliau tidak pernah ditunjukkan baki akaun banknya dari tahun 2011 hingga 2015.

Semasa pemeriksaan balas oleh DPP V Sithambaram, bekas perdana menteri itu berkata, bekas ketus setiausaha sulitnya, Azlin Alias hanya memaklumkan kepadanya sama ada beliau mempunyai baki yang cukup dalam akaun untuk mengeluarkan cek.

Sithambaram: Adakah anda memberitahu mahkamah, dari masa anda membuka akaun anda pada tahun 2011 hingga Mac 2015, anda tidak pernah melihat penyata bank anda?

Najib: Ya.

Tertuduh juga mengatakan bahawa penyata banknya tidak pernah dihantar kepadanya


10:30 pagi - Najib memberi keterangan bahawa bekas ketua setiausaha sulit, Azlin Alias merahsiakan kemasukan RM42 juta ke dalam akaun banknya.

Tertuduh juga bersetuju bahawa Azlin adalah orang yang berintegriti dan seseorang yang bekas perdana menteri itu percaya sehingga hari ini.

Sithambaram: Dia (Azlin) tidak mempunyai alasan sebagai seorang yang berintegriti untuk merahsiakan RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun (Najib)?

Najib: Dia (Azlin) tidak memberitahu saya mengenainya. Saya tidak boleh mengatakan ini.

Sithambaram: Dia (Azlin) merahsiakannya (dari Najib)?

Najib: Ya, dia tidak memberitahu saya tentang RM42 juta itu.


10.15 pagi - Perbicaraan bermula dengan DPP V Sithambaram mempertanyakan tertuduh, bekas perdana menteri Razak, berhubung dakwaannya bahawa beliau adalah mangsa manipulasi Jho Low.

Bersetuju bahawa beliau memang menuduh Jho Low memanipulasi akaun banknya, Najib juga mengakui bahawa beliau tidak kehilangan wang dari manipulasi yang dikatakan itu.

Najib sekali lagi bersetuju dengan cadangan lain oleh Sithambaram bahawa beliau sebenarnya mendapat faedah berjuta-juta ringgit yang dimasukkan oleh Jho Low ke dalam akaunnya pada 2014 dan 2015.

Najib bagaimanapun menekankan bahawa beliau tidak pernah meminta wang untuk didepositkan kepadanya.

Sithambaram: Selamat pagi Datuk Seri. Anda telah memberitahu peguam anda dalam perjalanan kes pendakwaan dan keterangan anda dalam kenyataan saksi menuding Jho Low memanipulasi akaun anda. Betul?

Najib: Ya, dia berurusan dengan Nik faisal, saya percaya. Saya tidak tahu butiran itu tapi... (tidak jelas kedengaran).

Sithambaram: Anda menuduh dia memanipulasi akaun anda?

Najib: Ya

Sithambaram: Sebagai akibat daripada dakwaan manipulasi akaun anda oleh Jho Low, anda tidak kehilangan wang dari bank anda?

Najib: Tidak.

Sithambaram: Malah, Datuk Seri, sebaliknya, anda mendapat manfaat berjuta-juta dolar yang didepositkan oleh Jho Low.

Najib: Saya tidak memintanya.

Sithambaram: Dengan hormat, itu bukan soalan saya. Anda tidak kehilangan wang, tetapi sebenarnya anda mendapat manfaat daripada wang yang didepositkan oleh Jho Low ke akaun anda

Najib: Ya


10.15 pagi - Najib masuk kandang saksai. Prosiding bermula.


9.58 pagi - Najib melangkah masuk Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan mengambil tempat duduk di barisan hadapan galeri awam sambil menunggu prosiding bermula.

Turut dilihat di mahkamah ialah Peguam Negara Tommy Thomas dan DPP, serta anggota pasukan pembelaan Najib.

Lihat Komen
ADS