Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pekerja syarikat sarung tangan dapat gaji, tapi mungkin tetap dihantar pulang

Lebih seribu pekerja syarikat sarung tangan, WRP Asia, telah mendapat gaji, namun nasib mereka masih menjadi tanda tanya di tengah-tengah pergelutan antara pengurusan dan pemegang saham.

Terdahulu, penyelesai (liquidator) interim BDO Consulting enggan membayar gaji pekerja dengan mendakwa mereka bukan pekerja syarikat itu secara langsung, tetapi diambil oleh sebuah syarikat lain yang bernaung di bawah syarikat induk sama.

Penyelesai itu juga mengancam untuk tidak membayar bil elektrik hostel mereka, tetapi kini sudah setuju untuk membuat bayaran itu, menurut sumber dalaman WRP Asia.

Bagaimanapun, sumber barkata masih belum jelas sama ada pekerja asing, yang merangkumi sebahagian besar pekerja yang terkesan, akan dihantar pulang ke negara asal.

Sebelum ini difahamkan penyelesai tersebut telah mengarahkan penghantaran pulang sejumlah pekerja asing paling lewat minggu depan.

Pekerja tidak dibenarkan untuk bekerja, memandangkan penyelesai telah menutup kilang dan bekalan gas.

Ia di sebalik usaha pengurusan untuk tetap mengekalkan sebahagian operasi bagi memenuhi pesanan yang tertunggak.

Pada Isnin lalu, ratusan pekerja berkumpul di pagar kilang bagi menuntut gaji serta penjelasan berkenaan status pekerjaan mereka.

Pada Januari tahun lalu, sejumlah 2,000 pekerja warga Nepal mengadakan mogok tiga hari bagi mendesak tunggakan gaji dibayar. Mogok itu membawa kepada siasatan oleh Kementerian Sumber Manusia.

Sejak mogok itu, WRP Asia telah mengadakan audit dan memberikan maklumat berkenaan kepada pelanggan.

Bagaimanapun, pada Oktober lalu agensi Perlindungan Kastam dan Sempadan Amerika Syarikat menyekat produk WRP Asia daripada memasuki negara itu susulan dakwaan amalan buruh paksa.

Ia menyebabkan syarikat itu menanggung kerugian yang dianggarkan AS$40 juta (RM163.59 juta), memandangkan Amerika Syarikat merangkumi 40 peratus daripada eksport mereka.

Pda 30 Disember lalu, BDO Consulting mengeluarkan notis penggantungan sementara operasi syarikat. Pengurusan kemudian mengeluarkan pekeliling kepada pelanggan untuk memberi jaminan pesanan mereka akan dipenuhi.

Menurut peguam yang dilantik lembaga pengarah WRP Asia, pemegang saham telah menyuntik tambahan dana RM22 juta menerusi syarikat dana ekuiti persendirian TAEL Partners. Ia susulan kepada suntikan dana RM3.25 juta pada 2 Januari.

Firma guaman itu, Thomas Philip Advocates and Solicitors, berkata ia bagi memastikan WRP Asia meneruskan operasi "tanpa campur tangan atau halangan daripada pengurusan sebelumnya", yang diketuai bekas CEO Lee Son Hong.


BACA: Bekas bos WRP Asia nafi dakwaan salah urus syarikat


Lembaga pengarah mendakwa pihaknya sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap Lee.

Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran berkata pihaknya memantau perkembangan situasi tersebut.

Lihat Komen
ADS