Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Walau syarikat sarung tangan disuntik dana, pekerja hanya dibayar RM500

Pekerja syarikat sarung tangan WRP Asia Pacific Sdn Bhd hanya dibayar RM500 daripada tunggakan gaji mereka, di sebalik jaminan oleh pemegang saham Tael Partners bahawa RM3.25 juta telah disuntik bagi tujuan pembayaran gaji penuh.

Para pekerja menerima wang tunai dengan jumlah itu apabila wakil Tael Partners membawa RM1 juta ke pejabat WRP Asia Pacific di Salak Tinggi, Selangor, hari ini.

Menurut sumber dalaman WRP Asia Pacific, beg bimbit berisi wang tunai dibawa ke pejabat dengan diiringi kira-kira 40 pengawal keselamatan.

Sumber itu berkata, wakil Tael Partners mengumumkan ia hanya boleh membayar RM500 kepada setiap pekerja kerana hanya boleh membuat pengeluaran RM1 juta di bank hari ini.

Wakil itu berjanji akan membawa RM1 juta lagi pada Isnin ini, dan baki RM1.25 juta pada Selasa.

"Mereka kata eksekutif akan dibayar kemudian, dan kemudian beberapa pengurus. Ini amat pelik kerana jika mereka menyuntik dana maka mereka boleh membuat pembayaran melalui senarai gaji seperti biasa," kata sumber itu yang merupakan sebahagian daripada pengurusan WRP Asia Pacific.

Sumber itu berkata timbul kebimbangan yang pekerja telah "diperdaya" dan baki dana tidak akan sampai kepada mereka.

Sejumlah pekerja juga mendakwa mereka tidak menerima RM500 yang diagihkan hari ini.

Pergelutan dalaman

WRP Asia Pacific berdepan dengan pergelutan antara pengurusan dan pemegang saham, menyebabkan nasib lebih 1,000 pekerja tinggal tanda tanya.

Pada 30 Disember, penyelesai sementara yang dilantik mahkamah, BDO Consulting mengeluarkan notis penggantungan operasi syarikat, tetapi pengurusan tergesa-gesa memberi jaminan kepada pelanggan bahawa pesanan mereka akan tetap dipenuhi.

Sejak itu, kilang telah ditutup dan syarikat sarung tangan lain menawaran untuk mengambil sebahagian pekerja asing WRP.

Penyelesai interim sebelum ini enggan membuat bayaran kepada pekerja kerana mereka secara teknikal diambil oleh sebuah syarikat lain yang bernaung di bawah syarikat induk sama.

Difahamkan penyelesai interim mengarahkan penghantaran baik sejumlah pekerja asing ke negara asal paling lewat minggu depan.

Terdahulu minggu ini, firma guaman Thomas Philip Solicitors and Advocates, yang dilantik oleh lembaga pengarah, berkata tambahan RM22 juta telah disuntik kepada WRP Asia Pacific oleh Tael Partners untuk memulihkan perniagaan syarikat.

Thomas Philip berkata lembaga pengarah telah memecat bekas CEO Lee Son Hong atas asas salah urus dan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Malaysiakini telah menghubungi Thomas Philip untuk mengulas perkara ini.

Pada Januari 2019, pekerja WRP Asia Pacific mengadakan mogok selama tiga hari bagi menuntut gaji mereka.

Pada Oktober tahun lalu, agensi Perlindungan Kastam dan Sempadan Amerika Syarikat mengharamkan sarung tangannya daripada masuk ke negara itu atas dakwaan mengamalkan buruh paksa.

Lihat Komen
ADS