Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM benarkan ruang khas merokok asalkan ikut peraturan 3 meter

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membenarkan pelaksanaan kawasan merokok di tempat awam termasuk kawasan komersial dan medan selera selagi mengikut peraturan ditetapkan.

Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad berkata KKM sebelum ini menetapkan merokok hanya dibenarkan dari jarak tiga meter daripada sesuatu premis.

"Kami lihat kelebihan membuat (kawasan merokok) ini kerana ada orang masih nak merokok. Mereka nak hak mereka."

"Saya kata saya izinkan tapi tolong buat dengan jarak tiga meter. Itu adalah peraturan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen derma darah di Surau Al- Ikhlasiah Keramat Jaya, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur, pagi tadi.

Beliau mengulas keputusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM1 juta bagi pelaksanaan kawasan merokok di tempat awam termasuk kawasan komersial dan medan selera milik 155 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

Dr Dzulkefly berkata, setiap kementerian mempunyai peranan masing-masing dan keputusan KPKT tidak bercanggah dengan keputusan dibuat KKM.


Baca: NGO bantah KPKT benarkan ruang khas merokok


"Ya, memang ada kementerian bertanggungjawab. Tapi, yang lain (kementerian) juga mempunyai peranan. Dari segi ini bila datang operasi di peringkat PBT, itu adalah bidang kuasa KPKT.

"Sebab itu, bila kita membuat larangan merokok di tempat awam, kemudian mereka (KPKT) datang menjalankan peranan mereka dengan berpatuhan, perkara-perkara seumpama jarak 3 meter atau 10 kaki.

"Itu kami tidak mempunyai masalah," jelasnya yang menyokong langkah KPKT mematuhi larangan tiga meter yang telah ditetapkan.

"Saya tahu ada pihak melihat (keputusan KPKT) seolah-oleh sebagai satu tindakan galakkan merokok. 

"Itu semua pandangan atau persepsi yang sukar untuk ditangani," tambah beliau.

Sementara itu, Dzulkefly juga berkata KKM akan membentangkan cadangan garis panduan pelaksanaan kawasan merokok pada bulan Mac dalam mesyuarat Majlis Negara Kerajaan Tempatan (MNKT).

"Garis panduan masih dalam perbincangan. Dalam bulan Mac kami bentangkan garis panduan di MNKT dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri (Dr Wan Azizah Wan Ismail)," katanya.

Lihat Komen
ADS