Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: PSS kesinambungan cadangan PRSS zaman BN

PRK KIMANIS | Pas sementara Sabah (PSS) adalah kesinambungan cadangan yang dicetuskan pada zaman kerajaaan BN sebelum ditambah baik serta dilaksanakan oleh PH, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Kata Muhyiddin, ketika zaman BN, cadangan dibuat bagi memperkenalkan pas residen sementara Sabah (PRSS).

Tambahnya, ia dicadangkan BN dalam mesyuarat jawatankuasa pada 2015.

"Cadangan pas residen ini dibentang dan dipersetujui dalam mesyuarat jawatankuasa induk pada tahun 2015 sebelum kami (PH) jadi kerajaan.

"Selaras pertukaran kerajaan, kita perhalusi untuk cadangan itu dikaji secara mendalam, ditambah penilaian dan dibentangkan dalam jawatankuasa induk 6 Sept 2019.

"Dia (BN) tak putuskan (pengenalan PRSS), tetapi diberi perhatian diwaktu itu, sudah ada (cadangan) untuk laksanakan. Selepas itu (BN) kalah, kita (PH) ambil alih," katanya ketika ditemui selepas program kenduri Rela di Papar, Sabah, hari ini.

Kelmarin Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal menyerahkan kepada Muhyiddin untuk membuktikan bahawa cadangan PSS berrmula pada zaman BN.

Shafie berkata Muhyiddin akan menjelaskan perkara itu ketika turun padang berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

"Nanti Muhyiddin datang... bagi Muhyiddin jelaskan sebab Kementerian Dalam Negeri di bawahnya," kata Shafie.

Sebelum itu, Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan pemimpin parti Warisan yang mendakwa PSS dicadangkan oleh kerajaan BN.

Isu PSS menjadi polemik antara dua parti yang bertanding iaitu BN dan Warisan dalam PRK Kimanis.

PSS ialah dokumen baru Jabatan Imigresen yang dikeluarkan terhadap pendatang, bagi menggantikan dokumen sedia ada iaitu IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata PSS bukanlah bertujuan untuk memberi kewarganegaraan kepada pendatang tanpa izin (PTI) di negeri itu.

Sebaliknya kata Muhyiddin PSS adalah untuk memastikan keselamatan Sabah terjamin dengan merekod keberadaan PTI.

"Ini bukan soal warganegara ini tentang perundangan di bawah Jabatan Imigresen, permohonan (PSS) boleh dibuat di 10 cawangan Jabatan Imigresen.

"Jika ada sabit kes jenayah kad itu akan kita batalkan, dia (PTI) hanya boleh bergerak di Sabah, hendak pergi semenanjung tak boleh kecuali atas kebenaran dan kes-kes tertentu," katanya lagi.

Tegasnya PSS tidak sepatutnya dipolitikkan kerana ia membabitkan kepentingan keselamatan rakyat Sabah.

Sementara itu, Muhyiddin menyifatkan tindakan bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein yang mengaitkan PSS dengan ancaman keselamatan termasuk pencerobohan di Lahad Datu pada tahun 2013 tidak logik.

Katanya, pencerobohan oleh kumpulan bersenjata dari selatan Filipina, menggelarkan diri sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu, menceroboh Kampung Tanduo di Lahad Datu dengan PSS adalah isu berbeza.

Malam tadi ketika berkempen, Hishammuddin yang juga bekas naib presiden Umno itu membangkitkan insiden pencerobohan Lahad Datu dalam menyuarakan bantahannya terhadap PSS.

Lihat Komen
ADS