Kerajaan membayangkan kemungkinan besar tambang mengerjakan ibadah haji pada musim akan datang akan dinaikkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abdullah Md Zin berkata, dua faktror utama iaiatu tamatnya kontrak tambang lama antara Tabung Haji dengan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) pada tahun ini dan penguatkuasaan syarat penginapan baru oleh kerajaan Arab Saudi.

" Tabung Haji sedang mengkaji sama ada ia perlu menaikkan kos mengerjakan ibadah haji atau tidak untuk musim akan datang. Perkara itu sedang dikaji dan jika siap kelak, kertas cadangannya dihantar kepada saya sebelum dibentangkan kepada Kabinet untuk diluluskan," katanya di Besut hari ini.

Menurut laporan Bernama, Dr. Abdullah berkata, kontrak Tabung Haji dengan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) menggunakan tambang harga lama akan tamat pada tahun ini dan selepas itu kontrak untuk harga baru akan ditandatangani.

Abdullah berkata Tabung Haji juga terpaksa menanggung kos yang tinggi ekoran syarat baru yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi yang mewajibkan setiap jemaah haji harus menginap di kawasan sekurang-kurangnya seluas 3.5 meter persegi berbanding tiga meter persegi sebelum ini.

"Syarat ini juga turut memberikan bebanan kepada Tabung Haji di mana jikalau sebelum ini dalam sesebuah bilik kita boleh menempatkan sehingga lapan jemaah haji, namun sekarang hanya enam jemaah sahaja dalam satu bilik," katanya.

Katanya dengan syarat yang ditetapkan itu, pihak Tabung Haji terpaksa menyewa lebih banyak tempat penginapan untuk jemaah haji Malaysia.

"Bagaimanapun jika tambang itu naik nanti, Malaysia masih dikategorikan antara negara yang menawarkan tambang yang paling murah berbanding negara lain dan perkhidmatan yang diberikan juga merupakan yang terbaik," katanya.

Sejak tahun 1999, Tabung Haji telah menaikkan kadar kos mengerjakan haji sebanyak tiga kali sehingga mencecah RM9,445 seorang bagi Semenanjung, RM9,530 (Sarawak) dan RM9,575 (Sabah).

Bagaimanapun, dalam Bajet 2004, kos tersebut dipotong sebanyak lima peratus menjadikan kos mengerjakan haji bagi Semenanjung ialah RM8,937, Sarawak RM9,054 dan Sabah RM9,096.

Sepanjang musim haji 1425 Hijrah lalu sahaja, Tabung Haji telah membelanjakan lebih RM34 juta untuk menampung subsidi kos mengerjakan haji.