Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam: Keterangan saksi berkenaan transaksi macam salin dan tampal

Peguam Isa Samad, Salehuddin Saidin menyifatkan keterangan saksi pendakwaan ke-21 Muhammad Zahid Md Arip, berkenaan beberapa transaksi antara Isa dan  bekas Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Ikhwan Zaidel yang dibuat menerusi Zahid, sebagai keterangan "salin dan tampal".

Salehuddin berkata pernyataan Zahid, yang merupakan bekas pembantu khas Isa, berkenaan perbualannya dengan bekas pengerusi Felda itu pada kebanyakan masa menggunakan perkataan-perkataan yang sama.

"Kalau ikut transaksi kali kedua, keempat, keenam dan kelapan, keterangan kamu (Zahid) seperti 'copy and paste' (salin dan tampal). Perkataan-perkataan yang sama," katanya, yang turut mempersoalkan sama ada Zahid bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mempersalahkan Isa dalam kes itu.

Zahid yang kini menjadi setiausaha politik Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan tersebut.

Salehuddin: Saya tunjuk empat perkara sama, dalam transaksi 2, 4, 6 dan 8, seolah-olah 'copy and paste', perkataan demi perkataan, setuju?

Zahid: Tidak setuju.

Salehuddin: Kalau boleh ingat, DPP (Timbalan Pendakwa Raya) yang taip, ini kenyataan saksi...Kalau salin dan tampal, kamu nak mahkamah percaya kamu?

Zahid: Tidak setuju, bukan 'copy and paste'.

Salehuddin: Transaksi 2 hingga 8 ada ayat "Tan Sri sampai salam"?

Zahid: Ya

Salehuddin menunjukkan antara perkataan yang sering diulang dalam empat transaksi ialah "Ini untuk Tan Sri... Minta sampaikan pada Tan Sri..." (oleh Ikhwan) dan "salam" (oleh Isa Samad).

Menurut Zahid, perkataan "salam" oleh Isa bermaksud memintanya menghubungi Ikhwan untuk mendapatkan wang, manakala perkataan "ini" oleh Ikhwan merujuk kepada wang yang perlu diserahkan kepada Isa.

Salehuddin juga bertanya sama ada Zahid berpakat dengan Ikhwan, bekas CEO Felda Investment Corporation Mohd Zaid Abdul Jalil, dan Pengarah JV Evolution Sdn Bhd Azizi Abd Wahab untuk meneruskan penjualan Hotel Merdeka Palace kepada FIC.

Zahid kemudian menjawab beliau hanya mengikut arahan yang diberi oleh Isa Samad.

Terdahulu hari ini, Zahid juga berkata Isa menerima arahan daripada bekas perdana menteri Najib Razak, walaupun cadangan pembelian itu telah ditolak lembaga pegarah Felda Investment Corporation Sdn Bhd.

Isa, 70, dibicarakan atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Disember 2015.

Perbicaraan hari ini masuk hari yang ke-14 diadakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Lihat Komen
ADS