Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Komplot sasar Latheefa: SPRM lapor polis, serah nama individu disyaki terlibat

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan polis berhubung dakwaan plot untuk menyasarkan ketua pesuruhjayanya Latheefa Koya.

Walaupun butiran perkara itu tidak didedahkan kepada media, Malaysiakini difahamkan laporan itu turut menyebut tentang satu gambar, yang dipercayai meme, yang disebarkan menerusi Whatsapp.

Berita tentang plot itu timbual selepas Latheefa mendedahkan rakaman audio perbualan telefon bekas perdana menteri Najib Razak berkenaan skandal 1MDB.

Laporan polis dibuat pegawai khas hal ehwal undang-undang Latheefa, Sasha Lyna Abdul Latif, di ibu pejabat polis daerah (IPD) Putrajaya hari ini.

Menurut laporan itu, pada malam 10 Januari iaitu dua hari selepas sidang media SPRM yang mendedahkan rakaman audio itu, satu gambar berkaitan dengan Latheefa diterima menerusi Whatsapp.

Bercakap dengan pemberita, Sasha Lyna berkata ia dipercayai sebagai satu bentuk gangguan.

“Memang menyebarkan tohmahan untuk jatuhkan integriti dan maruah KP (ketua pesuruhjaya).

“Dan kami percaya ini satu intimidasi kepada KP atas apa telah dilakukan pada sidang media (8 Januari),” katanya.

Sasha Lyna berkata, dia juga menyerahkan bukti dakwaan konspirasi itu dan nama individu termasuk peguam yang dipercayai terlibat, kepada polis.

Bagaimanapun dia enggan mendedahkan nama individu tersebut kepada media.

Semalam, Latheefa berkata satu komplot jenayah telah digerakkan terhadapnya susulan pendedahan rakaman audio tersebut.

Ketika ditemui di satu program hari ini, Latheefa berkata laporan polis itu bukan berkenaan gambar tetapi plot untuk menjatuhkan reputasinya.

Latheefa Koya

Bagaimanapun, ketua pesuruhjaya SPRM itu enggan menjelaskan butiran tentang bagaimana beliau tahu akan kewujudan dakwaan plot tersebut.

"Ia bukan tentang gambar, ia maklumat berkenaan plot untuk mencemarkan reputasi saya. Isunya bukan tentang gambar per se. Ia satu plot yang serius.

"Maklumat itu kita telah serahkan kepada polis," katanya.

Menegaskan plot tersebut untuk menakutkannya, Latheefa berikrar akan terus menjalankan tugas di SPRM.

Dalam pada itu, beliau berkata belum menerima notis rasmi berkenaan hasrat Najib untuk memulakan prosedur menghina mahkamah terhadapnya dan SPRM susulan pendedahan rakaman audio itu.

"Saya akan tunggu (notis)," katanya ketika ditanya tentang perkara itu.

Dikatakan berlaku antara Januari dan Julai 2016, Najib dalam salah satu rakaman didengar meminta bantuan seorang putera Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk melindungi anak tirinya Riza Aziz daripada siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) terhadap 1MDB.

Dalam rakaman lain, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad didengar membincangkan siasatan 1MDB dengan Najib, isterinya Rosmah Mansor dan bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Rahim. Ketika itu Dzulkifli masih merupakan timbalan pendakwa raya.

Pendedahan ketiga daripada perbualan antara Najib dan Rosmah, di mana Rosmah didengar meninggikan suaranya ketika memberi nasihat kepada Najib berkenaan isu 1MDB.

Lihat Komen
ADS