Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Lembaga Kamajuan Pertanian Kemubu (Kada) menjadikan Ladang Merdeka Senor, Kampung Meranti di Pasir Mas sebagai ladang pengeluaran benih padi wangi jenis MRQ76 bagi meningkatkan pengeluran beras jenis itu di Kelantan.

Pengerusinya, Husam Musa, berkata tanaman padi itu dibuat bagi membantu Kada menyediakan bekalan benih kepada para petani yang mengusahakan tanaman padi wangi.

"Kada mendapati harga pasaran beras wangi jenis ini tinggi berbanding harga beras biasa, dan kami melihat ia satu peluang untuk membantu petani meningkatkan pendapatan mereka.

"Di sini (Ladang Merdeka Senor) kami menggunakan benih padi wangi jenis MRQ76 di tanah seluas 10 hektar dengan melibatkan 200 orang petani atau pemilik tanah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek perintis penanaman benih padi wangi di Ladang Merdeka Senor, Meranti, hari ini.

Husam berkata Ladang Merdeka seluas 10 hektar adalah yang pertama dijadikan ladang benih beras wangi di negeri ini.

"Petani terbabit mampu menghasilkan 50 tan benih padi bagi menampung benih untuk 380 hektar sawah.

"Ia adalah langkah awal Kada membantu petani menanam padi wangi jenis ini secara berterusan sekali gus mengurangkan kebergantungan negara kepada beras wangi yang diimport," katanya.

Husam juga berkata, padi wangi yang diusahakan sejak dua tahun lalu menyumbang kepada peningkatan pendapatan petani.

"Sekarang ini padi jenis ini ditanam di kawasan seluas 300 hektar di Selising, Pasir Puteh dan ia mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada petani untuk mengusahakannya secara berterusan setiap tahun.

"Harga bagi beras wangi dipasaran ketika ini RM1,500 satu tan dan harga beras biasa RM1,200 satu tan ini menunjukan petani boleh meningkatkan pendapatan mereka," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS