Malaysiakini BERITA

Kalau salah, tangkap ‘Narko Subang’ - KP Selangor

Ramieza Wahid

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaludin menjelaskan jika benar terdapat pegawai polis yang memeras ugut penduduk Kampung Sungai Buloh, di Sungai Buloh, mereka akan ditangkap.

Jelasnya, beliau juga terbuka dan sedia memberi kerjasama jika SPRM mahu menyiasat dakwaan pemerasan yang didakwa melibatkan wang sehingga lebih RM20,000 itu.

“Kalau terdapat laporan, suruh mereka (SPRM) siasat dengan lebih lanjut. Saya beri kerjasama.

“Kalau terdapat salah laku, tangkap saja (pegawai polis) yang terlibat. Saya terbuka,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini tadi.

Hari ini, seorang “wakil” penduduk Kampung Sungai Buloh membuat laporan di pejabat SPRM Selangor di Shah Alam.

Pengadu selepas membuat laporan. Dia enggan identitinya didedahkan.

Lelaki yang enggan identitinya didedahkan itu mendakwa polis di kawasan itu menahan beberapa anak muda di tempatnya dan memeras ugut keluarga mereka.

Dia mendakwa sekumpulan polis Jabatan Narkotik ibu pejabat daerah (IPD) Sungai Buloh - yang digelar penduduk kampung sebagai “narko Subang”- menjalankan pemerasan itu sejak tahun lalu.

Dia mendakwa ada yang dipaksa membayar sehingga RM27,000 bagi membebaskan anak mereka dari didakwa ke mahkamah.

“Mereka akan meronda sekitar 12 malam atau siang hari, kemudian serbu kumpulan anak muda yang tengah melepak, tangkap dan bawa ke rumah.

“Di rumah, mereka akan geledah seluruh sudut rumah untuk mencari barang terlarang dadah. Apabila mencari sampai 20 hingga 30 minit tidak jumpa, akan ada seorang anggota yang tiba-tiba masuk dan buat-buat mencari.

“Selepas itu, dia akan tunjukkan satu paket barang dipercayai dadah dan yakinkan keluarga itu kepunyaan anak-anak mereka,” dakwanya ketika ditemui pemberita di pejabat SPRM Shah Alam pagi tadi.

Pengadu yang berusia 50 tahun itu juga mendakwa dua anaknya sendiri pernah menjadi mangsa selepas ditangkap pada Oktober tahun lalu.

“Dua anak saya pernah ditahan di luar rumah ketika baiki motor, seorang 23 dan 25 tahun, bila geledah kawasan luar rumah tiada apa.

“Kemudian geng “Narko Subang” ini minta kebenaran nak geledah rumah. Ikutkan tiada waran saya tak perlu beri masuk tapi sebab mereka tunjuk kad (kad pengenalan pegawai polis) saya biarkan.

“Bila seorang pegawai periksa selama 20 minit tak jumpa apa-apa, polis kedua periksa di tempat sama tiba-tiba jumpa barang (dadah), entah dari mana,” katanya yang menambah setelah itu pihak polis menahan kedua anaknya.

Bagaimanapun, wakil penduduk itu memberitahu bahawa anaknya dilepaskan sejurus selepas beberapa jam ditahan selepas dia berkata mahu berjumpa dengan peguam.

‘7 orang sudah ditangkap’

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Shafa’aton Abu Bakar berkata pihaknya maklum berkaitan dakwaan itu.

Beliau mengakui terdapat penduduk kampung membangkitkan dakwaan itu padanya.

“Jumaat lalu, baru saja kita jumpa dengan penduduk kampung (Sungai Buloh). Mereka ada beritahu berkenaan pegawai yang salah laku ini dan ada antara yang mereka namakan (pegawai polis) itu antara tujuh yang pernah ditangkap susulan isu sama Disember lalu.

“Benda ini dah lama kami ambil maklum. Dan isu ini kembali panas. Yang terbaru (yang dilaporkan pada SPRM) hari ini saya akan rujuk dengan SPRM dan teliti kes ini.

“Mungkin ada anggota lain yang terlibat,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.