Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
IGP: Ada pihak petik nama VVIP untuk memburu di kawasan larangan

Ada individu yang menggunakan mana "VVIP" untuk menceroboh kawasan larangan untuk memburu hidupan liar, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Hamid berkata beliau telah mengarahkan anggotanya membuat laporan rasmi jika perkara itu berlaku di masa depan.

"Ia sebelum ini dibangkitkan dalam mesyuarat oleh seorang wakil, saya tak perlu sebut namanya, yang tugas orang bawahannya diganggu oleh individu tertentu yang menggunakan nama VVIP untuk membolehkan mereka masuk ke kawasan larangan untuk memburu.

"Saya telah keluarkan arahan jika ia berlaku lagi, mereka perlu buat laporan rasmi agar tindakan boleh diambil (terhadap individu tersebut)," katanya di Pusat Latihan Polis di Kuala Lumpur, selepas menghadiri mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah, hari ini.

Beliau berkata telah menasihatkan anggotanya agar tidak takut dan menjalankan tugas seperti sepatutnya.

"Jika ia kawasan larangan, jangan beri orang masuk. Jika mereka degil, tahan mereka. Itu arahan saya, mudah," katanya lagi.

Beliau turut mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang awam atau NGO berkenaan penglibatan orang kenamaan dalam kegiatan pemburuan haram.

Pada sama sama, Hamid menggesa mereka yang memiliki lesen senjata api untuk menghentikan hobi memburu, walaupun syarat yang dikenakan untuk lesen itu membenarkan mereka berbuat demikian.

Selain menggunakan senjata untuk mempertahankan diri dan membanteras perosak tanaman, beliau berkata polis sedang menimbang untuk memansuhkan syarat yang membenarkan pemegang lesen memburu, atau mengetatkan syarat itu.

"Ini amaran saya kepada pemburu yang ada lesen senjata api. Saya dalam proses membatalkan kebenaran menggunakan senjata api untuk memburu secara berperingkat.

"Walaupun jika (kebenaran) masih ada, saya akan ketatkannya, misalnya dengan mengenakan musim memburu. Tetapi kenapa kita masih perlu memburu?

"Tiba masanya warga Malaysia berhenti jadikan kegiatan memburu sebagai hobi. Cukuplah. Sudah ada banyak makanan dalam tin - ayam, lembu, kambing.

"Saya juga ada ramai kawan yang suka memburu. Saya akam 'sekolahkan' mereka untuk berhenti. Carilah hobi lain," katanya lagi.

Sebelum ini, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mencadangkan musim memburu babi hutan selama enam bulan, berbanding membenarkan kegiatan itu berjalan sepanjang tahun.

Hamid berkata ia satu langkah yang baik memandangkan ia akan memberi masa untuk babi hutan membiak.

"Babi hutan makanan harimau...dan ada sumbangan kepada ekologi. Kita jangan ingat babi hutan ini pest (perosak), mereka ada peranan.

"Kepada mereka yang gemar makan babi hutan, ingat, daging babi bandar pun banyak," katanya.

Kepada yang menggunakan senjata api untuk melindungi tanaman, Hamid menggesa mereka menjadikannya sebagai pilihan terakhir.

"Saya tak galakkan mereka untuk tembak monyet atau babi hutan yang masuk (ladang). Kalau boleh, halau saja, guna cara lain. Tak baik untuk kita tembak haiwan macam monyet dan rusa," katanya.

Hamid berkata beliau dalam proses rundangan dengan jabaan yang bertanggungjawab dalam soal pelesenan senjata api untuk mengenal pasti kriteria yang membenarkan kegiatan memburu.

Katanya, sebab itulah beliau menyertakan bahagian perundangan polis dalam mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah agar mereka dapat membincangkan bagaimana undang-undang berkenaan flora dan fauna dapat diselaraskan.

Operasi Bersepadu Khazanah adalah usaha sama polis, Perhilitan, Jabatan Kastam, Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Sarawak Forestry Corporation, dan dilancarkan pada suku ketiga 2019.

Setakat ini operasi itu telah menangkap 102 orang melibatkan 56 kes berkaitan perdagangan hidupan liar haram.

Lihat Komen
ADS