Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini dijangka membincangkan isu perletakan jawatan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Shahrir Samad.

Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, MT bersedia mendengar penjelasan Shahrir berhubung tindak tanduknya jika beliau membawa perkara berkenaan ke mesyuarat hari ini.

" Tiada halangan bagi Shahrir untuk menjelaskan tindak-tanduknya pada mesyuarat Majlis Tertinggi. Walaupun perkara ini berkaitan dengan Parlimen tetapi berkait pasal prinsip kita tidak menyokong usul pembangkang, maka terserahlah kepada dia jika dia nak bawa ke MT," katanya.

Abdullah yang juga Pengerusi BN berkata demikian kepada pemberita di KLIA, Sepang, sekembalinya ke tanah air dari lawatan 10 hari ke kepulauan Caribbean dan Amerika Syarikat.

Mengenai tindakan yang mungkin diambil terhadap ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof, Perdana Menteri berkata: "Inilah perkara yang saya akan bincangkan dengan parti."

Menurut laporan Bernama, anggota Parlimen berkenaan adalah wakil rakyat yang dikatakan meminta pihak kastam "memandang sebelah mata" terhadap kes rampasan kayu bergergaji di Sungai Linggi, Melaka, baru-baru ini.

Ekoran pendedahan Jabatan Kastam mengenai tindakan Mohd Said itu di akhbar, Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang pada Jumaat lalu telah mengemukakan usul supaya tingkah laku ahli Parlimen Jasin itu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Shahrir menyokong usul Lim itu tetapi ahli-ahli BNBBC tidak menyokong tindakan Shahrir itu. Berikutan itu Shahrir meletakkan jawatan sebagai Pengerusi BNBBC.

Perdana Menteri juga menegaskan prinsip Barisan Nasional (BN) yang tidak membenarkan anggotanya menyokong usul pembangkang di Parlimen, kekal dan perlu dipatuhi.

"Itu adalah keputusan parti (BN) dan pada waktu ini kita kekal dengan keputusan yang telah dibuat. Prinsip menyokong pendirian parti adalah prinsip yang mesti dipatuhi," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik cadangan Shahrir supaya diwujudkan sebuah jawatankuasa pilihan bagi menentukan garis panduan tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan seseorang Anggota Parlimen.

"Saya fikir ada kebaikannya juga sebab itu adalah satu jawatankuasa yang nanti akan mengenakan peraturan-peraturan berkaitan semua Anggota Parlimen BN mahupun pembangkang," ujarnya.