Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
CEO Prasarana, MAHB akan dilantik dari kalangan orang Malaysia

Menteri Pengangkutan Anthony Loke yakin dua individu yang dilantik untuk memimpin Prasarana Malaysia Bhd dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) adalah daripada kalangan rakyat Malaysia.

"Biar saya tegaskan, kedua-dua (syarikat) ini merupakan aset strategik penting, dan pengendali pengangkutan penting.

"Bagi pendirian kerajaan, saya yakin kedua-dua CEO (Prasarana dan MAHB) akan kekal dari kalangan penduduk tempatan," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau sebelum itu menghadiri majlis menandatangani perjanjian tambahan antara Mass Rapid Transport Corp Sdn Bhd dan MMC Gamuda Sdn Bhd.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng, yang turut hadir, menambah bahawa Malaysia mempunyai tenaga profesional tempatan yang cukup dan berkebolehan untuk menggalas dua jawatan itu.

"Anda lihat rakyat Malaysia di seluruh dunia, mereka sebenarnya memimpin jawatan penting sama ada di Amerika Syarikat, Eropah, China atau Singapura.

"Saya fikir kita mempunyai tenaga profesional yang boleh melakukan tugas ini. Yang penting dapatkan orang yang sesuai. Saya fikir itu sebab kenapa lembaga mahu membuat penilaian yang rapi," kata Lim.

Ketika pentadbiran BN, kerajaan melantik Christoph Mueller dari Jerman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Airlines Berhad pada 2015 dalam usaha untuk menambah baik syarikat penerbangan nasional itu.

Mueller meninggalkan jawatan itu pada 2016, sebelum kontrak tiga tahunnya selesai dan digantikan oleh Peter Bellew dari Ireland. Bellew melepaskan jawatan itu pada 2017.

Terdahulu, apabila ditanya sama ada nama calon berpotensi untuk mengisi kedua-dua jawatan itu telah dikemukakan, Loke berkata terserah kepada ahli lembaga kedua-dua syarikat itu untuk membuat senarai nama.

Buat masa ini, beliau berkata lembaga itu masih belum mengemukakan senarai calon.

Beliau juga berkata tidak ada tempoh masa yang diberikan untuk pelantikan CEO baru.

Pada 7 Jan, dilaporkan bahawa presiden dan CEO Prasarana Mohamed Hazlan Mohamed Hussain telah digantung dari jawatannya berikutan keputusan oleh lembaga pengarah.

Penggantungannya dikatakan disebabkan oleh "ketidakpuasan awam" terhadap perkhidmatan Transit Ringan (LRT), yang dioperasikan Prasarana.

Sementara itu, media turut melaporkan pada hari yang sama bahawa CEO MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin juga telah meletakkan jawatan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS