Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RM400 juta untuk rakyat tak diguna beli kereta mewah - Mohd Amar

Peruntukan 'one-off' sebanyak RM400 juta diberikan kerajaan Persekutuan kepada Kelantan pada hujung tahun lepas akan digunakan untuk meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau menjelaskan wang itu tidak digunakan untuk membeli kenderaan mewah bagi anggota pentadbiran kerajaan negeri seperti didakwa pihak tertentu.

Katanya kerajaan negeri telah menggariskan, antara lain, melaksanakan projek rumah mampu milik dan menyelesaikan isu bekalan air di negeri ini dengan wang itu.

"Bekalan air bersih sepatutnya sudah boleh diselesaikan selepas Kelantan bekerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) tapi SPAN sendiri ada masalah dan halangan, jadi kita terpaksa usaha (dengan cara lain) untuk menyelesaikan isu bekalan air.

"Kerajaan negeri memang sudah ada perancangan cuma sekarang sedang buat perincian dan kita akan tengok dulu dari segi keutamaan, mana satu yang kita akan mula (laksanakan) dengan duit (RM400 juta) ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah di Medan Ilmu di Kota Bharu, hari ini.

Mengulas tentang pembelian kereta mewah jenis Mercedes kepada anggota pentadbiran kerajaan negeri, Mohd Amar berkata perkara itu telah diputuskan sejak 2018.

“Kami (kerajaan negeri) beli sedikit demi sedikit menggunakan belanjawan kerajaan negeri. Tiga tahun berturut-turut kita ada lebihan dalam belanjawan termasuklah RM45 juta pada tahun lepas, jadi kalau fikir logik, takkan kita tak mampu membeli Mercedes.

"Keputusan untuk membeli Mercedes ini dibuat sebelum kerajaan Persekutuan beri bantuan 'one-off' lagi jadi tak berbangkitlah perkara ini," katanya.

Katanya mengikut amalan mana-mana kerajaan, kenderaan rasmi digunakan anggota pentadbiran perlu ditukar setiap lima tahun sekali namun Kelantan mengambil masa antara 10 hingga 12 tahun untuk berbuat demikian.

"Macam Mercedes yang saya pakai itu beli sejak 2007 lagi dan kos penyelenggaraan dalam masa beberapa tahun ini hampir RM200,000 jadi lebih baik beli yang lain.

Sekurang-kurangnya dalam masa lima tahun penggunaan kenderaan, kos penyelenggaraan masih percuma lagi. Itu pertimbangan kita," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS