Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu dana RM2 juta daripada pengarah syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd, Chai Kin Kong, sebenarnya merupakan sumbangan politik kepada Umno untuk pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

"Dengan rendah hati, saya ingin menyatakan bahawa saya tidak perlu RM2 juta untuk diri saya.

"Saya tidak pernah berniat menerima dana tersebut untuk diri saya.

"Sebelum saya menyerati kabinet pada tahun 2001, saya seorang ahli peniaga yang berjaya dan mempunyai aset yang besar," demikian kenyataan dibuat bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor, dalam pernyataan keterangan bagi perbicaraan tuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada Chai pada 2016.

Menurut Tengku Adnan, sejak dari awal lagi beliau memberitahu Chai bahawa wang berkenaan adalah sebagai sumbangan politik kepada Umno bagi membiayai perbelanjaan parti itu di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Katanya, beliau menerima cek daripada Chai yang dibayar kepada akaun syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd (Tadmansori).

Tengku Adnan juga menambah sebelum itu pun beliau ada menggunakan wangnya sendiri sebagai pendahuluan bagi menggerakkan kempen serta perbelanjaan lain untuk kedua-dua PRK berkenaan.

Mahkamah sebelum ini mengarahkan bekas setiausaha agung Umno untuk membela diri berhubung pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2 juta daripada Chai.

Guna wang sendiri

Tengku Adnan yang mesra dipanggil sebagai Ku Nan atas kapasitinya selaku penjawat awam dituduh menerima RM2 juta itu melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik Aset Kayamas Sdn Bhd (Aset Kayamas).

Cek tersebut didakwa didepositkan ke akaun bank CIMB milik Tadmansori. Tengku Adnan mempunyai kepentingan dalam syarikat tersbeut dan diketahui bahawa Aset Kayamas ada mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Menurut Tengku Adnan, menjadi kebiasaan untuk Umno menerima sumbangan politik bagi membiayai perbelanjaan semasa kempen serta bayaran-bayaran lain ketika menghadapi PRK.

"Selepas pengumuman SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) berhubung PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 13 Mei 2016, saya sebagai pengerusi Umno Wilayah Persekutuan perlu mencari sumbangan untuk Umno Wilayah Persekutuan dalam usaha membantu di PRK.

"Antara individu saya minta sumbangan adalah Chai. Beliau memberi sumbangan kepada Umno/BN sejak saya dilantik sebagai setiausaha eksekutif Umno pada 1999," katanya dalam pernyataan keterangan 27 muka surat itu.

Namun, Tengku Adnan menjelaskan beliau terpaksa menggunakan wang sendiri sebagai pendahuluan selepas Chai memberitahu bahawa dia perlu sedikit masa untuk menyediakan sumbangan yang dijanjikan.

"Saya tidak ingat bila saya meminta Chai (memberi) sumbangan politik, tapi ia berlaku pada awal Jun 2016.

"Saya memberitahu dia, Umno/BN Wilayah Persekutuan memerlukan RM5 juta untuk PRK. Pada masa itu, Tan Sri Datuk Chai Kin Kong bersetuju memberi sumbangan namun tidak menyatakan jumlah," katanya.

Menurut ahli parlimen Putrajaya itu lagi, selepas beberapa ketika Chai memberitahu dia bersetuju membayar RM2 juta namun memerlukan masa untuk membayarnya.

"Saya kata kepadanya, bahawa saya akan bayar RM2 juta pendahuluan dulu kepada Umno sebab saya percaya Chai akan tunaikan janjinya, dan saya menggunakan duit saya sebagai pendahuluan kepada Umno di kempen PRK," katanya.

Senyum lepas tergelincir

PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar diadakan serentak pada 18 Jun 2016 ekoran kematian penyandangnya, masing Allahyarham Noriah Kasnon (Sungai Besar) dan Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (Kuala Kangsar) yang terbunuh dalam tragedi helikopter di Betong, Sarawak pada Mei 2016.

Kedua-dua mereka berada di Bumi Kenyalang itu untuk berkempen sempena Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Tengku Adnan juga berkata, secara amnya, sumbangan politik dibuat secara tunai kerana dana itu perlu digunakan semasa kempen dan masanya sangat pendek.

"Sumbangan politik Chai, bagaimanapun dibayar melalui cek HLIB (no cek 136822) bertarikh 14 Jun 2016 ke akaun Tadmansori Holdings.

"Saya terima cek itu pada tarikh yang sama di mana ia lambat kerana kedua-dua PRK dijadual hari mengundi pada Sabtu 18 Jun 2016," katanya.

Antara wang pendahuluan dibayar oleh Tengku Adnan di Sungai Besar adalah sebanyak RM1,013,200 kepada Rizalman Mokthar yang merupakan pengarah jentera PRK terbabit.

Wang berkenaan digunakan untuk membayar kos penginapan, makanan dan minuman, elaun harian, pengangkutan, bahan kempen dan lain-lain.

Beliau turut membayar RM1,007,600 secara tunai bagi program Projek Sukarelawan Pemuda BN melibatkan lebih 1,000 pemuda di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Sementara itu, ketika di hujung perbicaraan, Tengku Adnan tiba-tiba tergelincir dan jatuh semasa turun dari kandang saksi.

Bagaimanapun Tengku Adnan kemudian kelihatan tersenyum dan memaklumkan beliau tidak apa-apa.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Isnin depan.

Bagaimanapun sebelum perbicaraan itu bermula minggu depan mahkamah akan mendengar permohonan peguam tertuduh, Tan Hock Chuan, untuk membolehkan pihaknya mengemukakan dokumen deklarasi aset kepada perdana menteri dijalankan secara tertutup.

Ia merujuk kepada empat deklarasi aset yang dibuat Tengku Adnan kepada perdana menteri sewaktu beliau dalam kabinet.

Lihat Komen
ADS